Power! Pasport Malaysia Di Tangga Ke-12 'Paling Berkuasa Di Dunia' Tahun 2022
TERKINIMalaysia berada pada tangga ke-12 daripada 199 negara dalam senarai ‘Pasport Paling Berkuasa Di Dunia & Mesra Perjalanan’ -- berdasarkan bilangan destinasi yang boleh diakses oleh pemegangnya tanpa memerlukan visa terlebih dahulu, naik satu tangga berbanding tahun lalu.
Menurut Henley & Partners yang menerbitkan laporan ‘Global Passport Ranking 2022’ -- pemegang pasport Malaysia boleh mengakses 179 negara tanpa memerlukan visa, manakala 47 lagi memerlukan visa.
Firma penasihat kewarganegaraan dan kediaman global yang berpangkalan di London itu berkata pada 2020 Malaysia berada di tempat ke-14, turun berbanding tangga ke-12 pada 2019.
Bagaimanapun, beberapa negara menetapkan pemegang pasport Malaysia perlu mendapatkan visa semasa ketibaan dan Kebenaran Perjalanan Elektronik (eTA).
Senarai diterbitkan oleh firma itu, berdasarkan data eksklusif yang disediakan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) – pangkalan data maklumat perjalanan terbesar dan paling tepat – terhadap 199 pasport mesra perjalanan.
Firma itu berkata peningkatan halangan perjalanan yang telah diperkenalkan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 bermula akhir 2019 lalu telah mengakibatkan jurang mobiliti global meluas dalam sejarah 16 tahun indeks.
Afghanistan, berada di bahagian bawah indeks 199 pasport, dan boleh mengakses hanya 26 negara tanpa memerlukan visa terlebih dahulu.
Berkongsi tangga pertama ialah pasport Jepun dan Singapura yang boleh mengakses 192 negara tanpa visa, sama seperti tahun lalu, dengan Negara Matahari Terbit itu kekal teratas sejak 2018.
Bagi kedudukan 10 teratas, Korea Selatan terikat dengan Jerman di tempat kedua dengan pasport negara itu boleh mengakses 190 destinasi tanpa visa, diikuti Finland, Itali, Luxembourg dan Sepanyol di tempat ketiga (189 destinasi).
Negara Kesatuan Eropah (EU) mendominasi senarai 10 teratas, dengan Perancis, Belanda dan Sweden mendaki satu anak tangga untuk menyertai Austria dan Denmark di tempat keempat (188 destinasi), manakala Ireland dan Portugal di tempat kelima (187 destinasi).
Amerika Syarikat dan United Kingdom, yang menduduki tempat teratas pada 2014, naik satu tangga pada kedudukan keenam, bersama empat negara lain Switzerland, Norway, Belgium dan New Zealand, dengan 186 destinasi.
Australia, Kanada, Republik Czech, Greece dan Malta berkongsi tempat ketujuh (185 destinasi); Hungary dan Poland (kelapan – 183 destinasi); Lithuania dan Slovakia (kesembilan – 182 destinasi); dan Estonia, Latvia serta Slovenia di tangga kesepuluh (181 destinasi).
Sumber: Agenda Daily