PRN Sarawak Akan Diadakan Dalam Tempoh 60 Hari Selepas Proklamasi Darurat Sarawak Dibatalkan

TERKINI
August 02, 2021 - 07:41 PM


Adakah pisang akan berbuah dua kali? 

Tatkala negara masih lagi teruk dilanda pandemik, kes harian dicatat pada angka belasan ribu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak (PRN Sarawak) digantung dan hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat Sarawak dibatalkan atau diungkaikan.

Proklamasi Darurat (Sarawak) diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi menggantung PRN Sarawak dan proklamasi itu hendaklah meliputi seluruh negeri berkenaan mulai hari ini hingga 2 Februari 2022.

Di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 P.U.(A) 324, memperuntukkan bagi tempoh darurat berkuat kuasa peruntukan Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak bahawa Dewan Undangan Negeri terbubar selepas lima tahun daripada mesyuarat pertamanya tidak mempunyai kesan.

Memandangkan Proklamasi Darurat (Sarawak) P.U.(A) 323 yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong pada 29 Julai lalu dan peruntukan Seksyen 3(4) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 P.U.(A) 324.

Pada 31 Julai lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan berkata, PRN Sarawak tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa kecuali jika darurat ditamatkan lebih awal.

Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 21 Julai lalu bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar memperkenan Proklamasi Darurat bagi seluruh Sarawak setelah darurat yang berkuat kuasa pada masa ini berakhir semalam.