Phuket Mahu Jadi Wilayah Pertama, Isytihar Endemik Covid-19

TERKINI
February 23, 2022 - 10:44 AM


Pihak berkuasa di Phuket berhasrat untuk menjadikan wilayah ini sebagai yang pertama mengisytiharkan endemik Covid-19 di Thailand.

Lapor Bangkok Post, Timbalan Gabenor Phuket, Pichet Panapong berkata, status endemik bakal membolehkan pihak berkuasa tempatan memulihkan semula ekonomi yang sebelum ini terjejas akibat pandemik Covid-19.

Selain itu, pihak berkuasa kesihatan Phuket juga bercadang untuk berhenti mengeluarkan laporan kes jangkitan harian, sebaliknya hanya melaporkan kes melibatkan jangkitan tahap sederhana dan serius.

Menurut Jawatankuasa Penyakit Berjangkit Kebangsaan Thailand, sebuah wilayah itu boleh mengisytiharkan endemik Covid-19 sekiranya kes jangkitan harian tidak melebihi 10,000 kes sehari, kadar kematian tidak melebihi 0.1 peratus dan lebih 80 peratus golongan berisiko sudah mendapatkan sekurang-kurangnya dua dos suntikan vaksin.

Selain itu, Pichet juga meminta tempoh kuarantin kendiri untuk pesakit Covid-19 dipendekkan dari 10 kepada 5 hari.

Katanya, sepanjang tempoh lima hari itu, pesakit dibenarkan kuarantin di rumah, di pusat kuarantin atau hospital dan selepas itu, mereka dibenarkan menjalani kehidupan seperti biasa.

Pihak berkuasa Phuket juga optimis bahawa wilayah ini selamat untuk penduduk tempatan dan golongan pelancong, selain pemakaian pelitup muka masih mandatori.

Sumber Gambar: livingnomads.com

 
Destination: