Thailand Bakal Kenakan Cukai Ketibaan Antarabangsa Selepas Pandemik Berakhir?

PANAS
May 13, 2020 - 11:49 AM


Negara jiran kita, Thailand bakal mengenakan cukai sebanyak 300 Baht atau RM40.51 seorang bagi setiap ketibaan antarabangsa apabila segala aktiviti pelepasan dan ketibaan pesawat serta sektor pelancongannya disambung semula.

Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand dilaporkan sedang mempertimbangkan pelaksanaan cukai tersebut bagi tujuan perlindungan insurans kerana pandemik COVID-19.

Menterinya, Phiphat Ratchakitprakarn berkata cukai tersebut akan dikutip apabila pelancong tiba sama ada melalui jalan udara, darat atau laut.

Cukai tersebut merupakan sebahagian daripada pelan strategik kebangsaan bertempoh 20 tahun yang memerlukan semua agensi kerajaan mendapatkan pendapatan berterusan bagi mengekal dan menstabilkan ekonomi negara. 

Tambah Phiphat, idea tersebut dicetuskan tahun lepas tetapi terpaksa ditangguhkan akibat pandemik. 

“Sekarang adalah masa yang tepat untuk memulakan kutipan.

“Pandemik telah menyebabkan beban yang besar kepada keyakinan pelancongan dan dengan itu dana pelancongan perlu memperuntukkan sebahagian bajet khusus kepada agensi-agensi untuk menggerakkan usaha menarik semula pelancong ke negara ini,” katanya.

Menurut Phiphat, kementerian telah menugaskan Universiti Naresuan untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan terhadap beban cukai munasabah terhadap pengunjung.

Kementerian menganggarkan nilai cukai tersebut tidak melebihi 300 baht seorang.

Bagaimanapun beliau secara peribadi lebih suka jika cukai tersebut dikenakan pada kadar sekitar 100-200 baht sahaja.

Sumber: MalaysiaGazette

 

Destination: