Jom Boikot Tunggang Gajah! Pelancong Seronok, Haiwan Menderita Didera
TERKINISiapa yang suka melancong terutama ke Thailand seperti Krabi, Phuket dan Hatyai, korang pernah tak ditawarkan dengan pakej aktiviti menunggang gajah?
Thailand yang terkenal dengan jolokan ‘Negara Gajah Putih’ itu sememangnya mempunyai banyak taman santuari gajah memandangkan ia selalu menjadi pilihan pelancong untuk merasai sendiri pengalaman menaiki haiwan berbadan besar itu.
Tapi korang tahu tak, demi memuaskan keinginan para pelancong dari seluruh dunia itu, gajah-gajah tersebut sebenarnya melalui proses latihan yang kejam dan menyakitkan.
Hal ini didedahkan menerusi satu thread di Twitter oleh @Uncle Barry dan @abang baik yang berkongsi realiti sebenar cara melatih haiwan malang itu supaya menjadi jinak dan menurut arahan manusia.
Proses menjinakkan gajah ini dipanggil sebagai ‘Phajaan’, yang mana anak gajah akan dipisahkan secara paksa daripada ibunya serta dikurung dalam penjara kayu.
Kemudian, penjinak akan menggunakan sebilah objek tajam yang dikenali sebagai ‘Bullhorn’ untuk mencucuk gajah-gajah tersebut supaya mengikut arahan mereka.
Meskipun mengetahui perbuatan tidak berperikemanusiaan itu nyata melanggar peraturan hak asasi haiwan, namun ia tidak menghalang kumpulan penjinak gajah menggunakan kekerasan demi perniagaan pelancongan mereka.
Walaupun sebelum ini di media sosial banyak perkongsian gambar dan video gajah mati akibat penderaan tersebut, namun aktiviti menunggang gajah masih lagi berjalan seperti biasa kerana terdapat permintaan daripada pelancong.
Jadi, jom lepas ni kita semua boikot kegiatan menunggang gajah sebab banyak lagi aktiviti pelancongan yang boleh kita nikmati.
Marilah sama-sama kita memulihara kebajikan haiwan yang semakin terancam itu dan diharap pihak industri pelancongan dunia juga tegas dalam isu penderaan haiwan ini tak kiralah gajah atau haiwan lainnya.
P/S: Kesiannya tengok kulit gajah tu berlubang-lubang hancur kena cucuk dengan senjata tajam. Cuba kita bayangkan kalau badan kita yang kena macam tu...sedihnya! Boikot! Boikot!