Resort Popular Milik Tiara Jacquelina Terpaksa Ditutup Sementara?
TERKINIAkibat banjir kilat di Janda Baik, Pahang baru-baru ini -- pusat percutian popular milik penerbit dan aktivis teater terkenal, Puan Seri Tiara Jacquelina tidak terlepas daripada menjadi mangsa daripada bencana alam tersebut.
Lebih hampa apabila banjir kilat yang melanda itu merupakan antara yang terburuk berbanding yang berlaku pada Disember lalu dan ia memberi tekanan kepadanya dan pihak pengurusan resort untuk membuat proses membaik pulih.
Oleh itu, Tiarasa Escapes Glamping Resorts berkenaan terpaksa ditutup sementara.
“Baru saja nak bernyawa selepas enam bulan terpaksa ditutup berikutan dilanda bajjir kilat Disember lalu semasa pandemik. Elok-elok kami sedang cuba untuk bangkit semula, terkena banjir kilat lagi.
“Sepanjang empat tahun kami beroperasi dan dalam sejarah di Janda Baik, nampaknya ini adalah yang paling buruk pernah berlaku. Ia sangat menyedihkan, menghampakan dan tidak menyenangkan,” katanya.
Tiara berkata demikian dalam satu hantaran yang dimuat naik di Instagram beliau, selain turut berkongsi beberapa keratan video ringkas yang memaparkan keadaan di resortnya yang terjejas akibat banjir.
Bagaimanapun, kata Tiara, lokasi Tiarasa Escapes sedikit bertuah kerana terletak di kedudukan tinggi dan tidak begitu teruk terjejas berbanding beberapa lokasi resort lain berdekatan.
“Sedih sangat bila tengok video resort dan tempat penginapan lain. Hanyut dibawa arus, tenggelam dibawah lumpur. Tabahlah komuniti Janda Baik.
“Apa pun, perkara ini tidak harus terjadi lagi. Saya harap pihak berkuasa yang sepatutnya akan membuat pemeriksaan untuk semua aktiviti yang tidak bertanggungjawab yang berlaku di kawasan itu, yang telah menyebabkan keadaan ini terjadi terhadap kami, komuniti Janda Baik,” katanya.
Dalam pada itu, jelas Tiara lagi, ekoran banjir yang berlaku, pihaknya juga terpaksa menutup resort berkenaan selama 3 hari dalam usaha membaik pulih sistem saluran air di kawasan tersebut.
“Kami telah meminta tetamu-tetamu kami untuk pulang dan datang semula pada hari lain untuk kembali bercuti di resort ini. Untuk hari ini, pasukan kami telah berusaha sedaya upaya untuk membersihkan kawasan yang telah terjejas akibat lumpur.
“Insya-Allah, Janda Baik dan Tiarasa akan bangkit semula dengan lebih baik selepas ini. Kami juga akan berusaha membuat persediaan lebih baik lagi pada masa akan datang jika ‘Mother Nature’ nak mengamuk lagi seperti ini,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia