Sedihnya... Petugas Barisan Hadapan Kongsi Situasi Sebenar Di Hospital Lembah Klang

TERKINI
July 12, 2021 - 09:12 PM


Setengah tahun kita berperang dengan kenaikan kes harian 4 angka yang kini tidak menunjukkan trend penurunan walaupun pelbagai variasi lockdown, dan PKP telah diperkenalkan, dan kini rakyat semakin lemas berada di rumah, ada yang terpaksa bertebal muka dan mengibarkan bendera putih, ada yang bertahan dengan simpanan yang masih ada, dan ada yang terpaksa mengambil nyawa sendiri. 

Tapi, bagaimana pula situasi petugas barisan hadapan kita yang berada di barisan hadapan, di medan perang, bertaruh nyawa setiap hari bagi memastikan mereka yang dijangkiti diberikan jagaan yang sepatutnya, dengan harapan lebih ramai akan sembuh, sebaliknya kini tindakan sesetengah pihak telah menyebabkan lebih ramai yang dijangkiti setiap hari. 

Sebuah video yang kini tular dapat memberi sedikit sebanyak pandangan kepada semua rakyat Malaysia tentang betapa tenatnya keadaan fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia, sehingga mereka yang bertarung juga dijangkiti, melumpuhkan lagi sistem kesihatan negara. 

Jika dulu ramai yang mempertikaikan, memang betul ke data yang dikeluarkan KKM secara harian? Audio pada video di bawah memberikan jawapan yang sebaliknya... data yang dikeluarkan KKM dilaporkan tidak tepat, kerana data yang tepat sebenarnya lebih tinggi daripada apa yang kita lihat. 

Lebih menyedihkan lagi, disebabkan fasiliti yang kini dalam keadaan yang tenat, penyakit kronik lain yang memerlukan pembedahan penting terpaksa diberikan penangguhan kerana kakitangan yang tidak cukup bagi menguruskan kesemuanya sekaligus. 

Semoga video tersebut dapat memberikan iktibar kepada mana-mana pihak yang tertentu.