Sejak Bebas COVID-19, China Guna Kod Warna QR Kawal Jangkitan!

PANAS
April 08, 2020 - 05:44 PM


China mungkin pernah menjadi pusat penularan jangkitan COVID-19 satu ketika dahulu.

Tetapi kini, ia boleh berbangga apabila jumlah jangkitan dan angka kematian akibat koronavirus di negara itu turun mendadak hingga hampir tiada kes positif kebelakangan ini.

Bagaimanakah negara yang satu ketika dahulu dicemuh sebagai punca tersebarnya jangkitan koronavirus baharu ini mengawal keadaan dan apa langkah yang dilakukan bagi memastikan risiko sedia ada terkawal?

Di Wuhan, misalnya, warganya hari ini bebas keluar masuk selepas 76 hari menjalani perintah berkurung.

Walaupun bebas, namun risikonya tetap ada.

Dalam memastikan setiap individu tidak mendatangkan bahaya kepada orang lain, pihak berkuasa negara itu menggunakan teknologi aplikasi telefon bimbit bagi mengenal pasti siapa yang sihat dan siapa yang berisiko.

Menggunakan perisian tambahan pada aplikasi telefon bimbit WeChat dan AliPay yang sememangnya popular di sana, setiap penduduk diberikan kod warna QR bagi membezakan apa yang mereka boleh dan tidak boleh lakukan berdasarkan kaji selidik kesihatan yang dilakukan terlebih dahulu.

WARNA HIJAU membolehkan mereka bergerak bebas dan diterima masuk ke hampir semua tempat, termasuk tempat kerja, sekatan jalan raya, hotel, dan restoran.

WARNA JINGGA / MERAH pula bermaksud individu itu berisiko dan mungkin dihalang masuk. Dan seperti biasa, individu itu akan diminta menjalani kuarantin dari tujuh hingga 14 hari.

 

Kod warna itu akan bertukar mengikut keadaan semasa.

Sebagai contoh, jika anda pernah berada di lokasi di mana seseorang individu dengan kod warna merah dikesan, secara automatik kod warna anda akan berubah kepada jingga dan anda perlu menjalani proses kuarantin.  

Untuk tujuan itu, pihak berkuasa dibenar mengakses pangkalan data yang antara lain mendedahkan sejarah perjalanan, kesihatan dan sama ada pemilik telefon itu ada berdekatan individu disyaki menghidap jangkitan koronavirus.

Proses ini berulang setiap kali mereka mendaftar untuk satu-satu perjalanan.

Inisiatif ini diperkenal di bandar Hangzhou dan kemudiannya diikuti bandar-bandar lain.

Setakat 25 Februari, program ini telah digunakan di lebih 200 bandar dan terus meningkat.

Sehingga awal tahun ini, WeChat mempunyai 1.16 bilion pengguna bulanan aktif, manakala Alipay 900 juta pengguna di seluruh China.

SUMBER: Astro Awani

Destination: