Selepas London Berjaya, MAS Perluas Ujian Pas Perjalanan IATA Ke Tokyo & Melbourne Pula

TERKINI
May 27, 2021 - 05:26 PM


Selepas berjaya menyelesaikan ujian pertama di laluan Kuala-Lumpur-London (KUL-LHR) pada 29 April, 2021 -- Malaysia Airlines bakal memperluaskan ujian Pas Perjalanan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) melibatkan penumpang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tokyo-Narita dan Melbourne, Australia.

Ini sekaligus menjadikan MAS antara syarikat penerbangan global pertama yang menjalankan ujian Pas Perjalanan IATA — sebuah aplikasi telefon mudah alih bagi pengesahan kesihatan secara digital, menerajui langkah ke arah menyambung semula perjalanan global.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan nasional itu berkata selain pengguna iOS, penumpang yang menggunakan peranti Android juga dapat menggunakan aplikasi tersebut, menjadikannya antara syarikat penerbangan pertama di dunia yang menguji versi Android untuk Pas Perjalanan IATA.

“Selepas selesai ujian pertama di laluan Kuala-Lumpur-London (KUL-LHR) pada 29 April, 2021, ujian yang akan datang akan diteruskan pada 30 Mei, 2021 ke atas MH129 di laluan Kuala Lumpur-Melbourne, yang akan diikuti oleh penerbangan lain yang dijadualkan,” katanya.

Dengan menggabungkan semua maklumat yang diperlukan oleh penumpang untuk melakukan perjalanan, termasuk keputusan ujian PCR mereka dan status vaksinasi dalam aplikasi yang mudah dan senang dilayari, Pas Perjalanan IATA bertujuan menjadi aspek penting untuk menyambung semula perjalanan antarabangsa dengan selamat.

Penumpang yang melakukan perjalanan ke Melbourne dan Tokyo-Narita dalam tempoh beberapa minggu akan datang telah diminta untuk menyemak e-mel mereka bagi pelawaan untuk mengambil bahagian dalam ujian tersebut.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai komitmen Malaysia Airlines untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang selamat kepada penumpang semasa pandemik ini, layari  https://www.malaysiaairlines.com/hq/en/campaign/fly-with-confidence.html 

Sumber: Malaysia Gazette

Destination: