Singapura: Wanita "Where's Your Badge?" Akhirnya Dihukum Penjara

TERKINI
September 06, 2021 - 06:13 PM


Wanita berlagak yang sebelum ini menuntut untuk melihat 'lencana' pihak yang menyuruhnya memakai pelitup muka, kini dihukum penjara. 

Phoon Chiu Yoke 54 tahun, wanita yang dirakam tidak memakai pelitup muka di Marina Bay Sands, Singapura dan beberapa tempat awam lain dijatuhi hukuman penjara 16 minggu. Chiu Yoke mengaku bersalah atas sembilan dakwaan melanggar peraturan Covid-19.

Berita Mediacorp melaporkan, Chiu Yoke pertama kali mendapat sorotan berita pada Mei lalu, setelah satu video tular menunjukkannya bertekak dengan Duta Jarak Selamat (Singapore Social Distance Ambassador) di Marina Bay Sands kerana tidak memakai pelitup.

Dia awalnya berdepan dengan 22 dakwaan, termasuk satu kerana tidak memakai pelitup di luar Mahkamah Negara pada Mei, di mana dia dirakam melakukan demikian oleh anggota media.

Timbalan Pendakwa Raya Heershan Kaur berkata, tertuduh telah meninggalkan bilik hotelnya tanpa memakai pelitup muka di Marina Bay Sands berkali-kali ketika masih menjalani notis jangan keluar rumah (SHN) setelah pulang dari Britain pada Jun tahun lalu.

Mahkamah juga diberitahu Chiu Yoke – yang hadir di mahkamah melalui persidangan video ketika ditahan reman – telah mengunjungi kedai makan dan menghadiri perhimpunan gereja di Saint Andrew’s Cathedral dengan tidak memakai pelitup muka.

Chiu Yoke ditahan sejak 24 Julai lalu, sebulan setelah dia ditemukan tidak memakai pelitup muka di Mandarin Orchard pada 25 Jun, sementara dia diikat jamin atas beberapa tuduhan serupa. Dia didakwa sebulan kemudian dan direman apabila jaminan S$12,000 ditarik balik.

Chiu Yoke pertama kali didakwa pada Disember tahun lalu setelah dikatakan gagal memakai pelitup menutupi hidung dan mulutnya di pusat penjaja Newton pada 8 Mei 2020, dalam tempoh ‘pemutus rantaian jangkitan’ Singapura.

Semasa perbicaraan sebelum ini, tertuduh menggesa pihak pendakwa menggugurkan tuduhan terhadapnya atas kesalahan prosedur, dengan mendakwa dia adalah ‘bekas pegawai tentera laut yang profesional’.

Dia direman di Institut Kesihatan Mental selama dua minggu bagi penilaian psikiatri. Namun perincian laporannya tidak diberikan di mahkamah terbuka.

Tertuduh akan mula menjalani hukumannya dengan mengambil kira tempoh semasa ditahan reman.

Atas setiap tuduhan melanggar perintah kawalan Covid-19, tertuduh boleh dipenjara hingga enam bulan, didenda hingga S$10,000, atau kedua-duanya.