Dipenjara Atas Tuduhan Rasuah, Bekas PM Thailand Kini Bakal Dibebaskan Awal
TERKINIIndividu yang pernah menggalas jawatan sebagai perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra akan dibebaskan seawal hujung minggu ini, lapor Menteri Kehakiman Thailand, Tawee Sodsong.
Untuk makluman, Thaksin pernah diundi sebagai perdana menteri sebanyak dua kali sebelum digulingkan dalam sebuah rampasan kuasa pada 2006.
Dia dipenjarakan selama lapan tahun atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa pada Ogos lalu, namun dalam beberapa hari, hukumannya dikurangkan kepada setahun oleh Raja Maha Vajiralongkorn.
Tawee Sodsong berkata, bekas pemilik kelab bola sepak Manchester City berusia 74 tahun itu akan menjadi antara 930 banduan yang diberikan pembebasan awal.
Difahamkan, dia boleh dibebaskan pada 18 Februari selepas menjalani hukuman penjara selama enam bulan.
“Thaksin berada dalam kumpulan mereka yang mengalami keadaan kritikal atau berusia lebih 70 tahun. Dia akan dibebaskan selepas enam bulan secara automatik,” kata Tawee kepada pemberita.
Thaksin dipenjarakan pada 22 Ogos tahun lalu, manakala media Thailand melaporkan bahawa pembebasannya boleh berlaku pada bila-bila masa bermula Sabtu depan.
Butiran sebenar pembebasannya tidak dijelaskan tetapi dia mungkin tertakluk kepada pemantauan dan sekatan ke atas haknya untuk melakukan perjalanan.
Sumber: Kosmo