Satu-Satunya Yang Boleh Dibuat Najib Atau Waris, Mohon Pengampunan Agong : Pakar Perundangan

TERKINI
August 24, 2022 - 04:08 PM


Jika dipenjara selama 12 tahun, usia bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila dibebaskan nanti adalah 81 tahun.

Namun beliau terpaksa akur dengan hukuman tersebut termasuk membayar denda berjumlah RM210, memandangkan ia adalah keputusan akhir oleh Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi di negara ini yang tidak boleh dirayu lagi.

Bagaimanapun, menurut seorang Pakar Perundangan Datuk Salehuddin Saidin -- Najib atau warisnya masih boleh memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ini kerana katanya jika dilihat di dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 42 menyatakan bahawa sama ada seseorang yang telah disabitkan dan menjalani hukuman atau waris boleh membuat membuat permohonan pengampunan daripada Sultan atau Seri Paduka Baginda.

“Sebenarnya kita ada satu peruntukan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 42 yang memperuntukkan seseorang yang telah disabitkan dan menjalani hukuman boleh membuat permohonan sama ada beliau ataupun warisnya kepada sultan atau Seri Paduka Baginda.

“Apabila dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bermakna permohonan atau petisyen untuk mendapatkan permohonan boleh dikemukakan kepada Seri Paduka Baginda.

“Seri Paduka Baginda boleh memberi pengampunan atau melegakan hukuman seperti mana yang telah dikenakan terhadap beliau,” katanya ketika ditemu bual menerusi Buletin Khas Astro Awani.

Jelas Salehuddin sekiranya Najib diberi pengampunan sepenuhnya, ini bermakna beliau tidak perlu lagi menjalani hukuman.

Bagaimanapun, ujarnya, dalam masa sama terdapat juga keadaan di mana pengampunan diberikan untuk mengurangkan tempoh penjara atau mengurangkan hukuman yang telah dikenakan.

“Jadi ini bergantung kepada keputusan yang bakal dibuat oleh jemaah pengampunan yang mana keputusan mutlak datangnya daripada Seri Paduka Baginda,” katanya.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Sumber: Astro Awani

Destination: