Switzerland Mansuh Semua Peraturan Covid-19, Pelitup Muka Pun Tak Perlu Pakai

TERKINI
March 31, 2022 - 05:13 PM


Kerajaan Switzerland mengesahkan akan menarik semula sekatan Covid-19 mulai esok (1 April) -- ketika negara itu berusaha untuk 'hidup' dengan virus tersebut.

Susulan itu, kerajaan turut memansuhkan peraturan pemakaian pelitup muka di dalam pengangkutan awam dan di kemudahan kesihatan, serta keperluan untuk mengasingkan diri selama 5 hari selepas disahkan positif Covid-19.

Tanggungjawab untuk membendung virus itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan dengan fasa kewaspadaan yang lebih tinggi dirancang dalam tempoh 12 bulan akan datang.

"Berikutan tahap imunisasi penduduk yang tinggi, tiada peningkatan ketara dalam bilangan pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) dalam beberapa minggu kebelakangan ini, walaupun jumlah jangkitan meningkat semula dalam tempoh yang sama.

"Terdapat sedikit kemungkinan ancaman kesihatan awam dalam beberapa bulan akan datang. Bagaimanapun, 'perjalanan lanjut' wabak Covid-19 tidak boleh dianggarkan dengan pasti," kata kerajaan dalam satu kenyataan.

Tambah kerajaaan, Covid-19 kemungkinan besar tidak akan hilang, namun menjadi endemik dengan gelombang virus bermusim pada masa hadapan.

Kerajaan berkata ia juga akan menyahaktifkan sementara aplikasi Swiss Covid yang mengenal pasti mereka yang mempunyai kontak rapat dengan individu dijangkiti Covid-19.

Kes jangkitan Switzerland kekal pada tahap yang tinggi dalam beberapa hari kebelakangan ini dengan lebih 16,462 kes baharu dilaporkan pada hari Rabu, walaupun hanya 165 orang memerlukan rawatan hospital.

Selepas permulaan yang perlahan, 69 peratus daripada 8.6 juta orang di negara ini sudah diberi vaksin sepenuhnya.

Sumber: Harian Metro

Destination: