Lepas Hungary, Itali Pula Bebas Pelitup Muka Bermula 28 Jun Ini!

TERKINI
June 22, 2021 - 02:18 PM


Selepas Hungary bebas daripada pemakaian pelitup muka dan kembali kepada kehidupan normal -- kini giliran Itali pula bersorak gembira selepas bebas daripada penularan pandemik Covid-19.

Ini kerana negara Eropah itu yang pada tahun lalu pernah menjadi antara paling teruk dilanda pandemik kini tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 28 Jun.

Menteri Kesihatan Itali, Roberto Speranza menerusi kenyataan di Facebook, berkata ia dilakukan di kawasan yang sudah dikategorikan sebagai 'putih' di bawah sistem klasifikasi bagi mengesan penyebaran pandemik itu.

Beliau berkata, ia merangkumi semua wilayah Itali kecuali Lembah Aosta di barat laut, negara itu.

Pengumuman Speranza dibuat atas nasihat panel ilmiah Comitato Tecnico Scientifico (CTS), dan menasihatkan orang ramai memakai pelitup muka jika hadir perhimpunan sosial yang besar dan berisiko.

Menjelang 28 Jun ini, pakar kesihatan negara itu meramalkan seluruh Itali akan dikategorikan sebagai zon "putih", dengan hanya 21 kematian dan 495 kes baru dicatatkan di seluruh negara semalam (21 Jun).

Negara itu mencatatkan 127,291 kematian dan 4.25 juta kes positif COVID-19 sejak pandemik COVID-19 dikesan pada awal tahun lalu.

Setakat ini, seramai 16 juta daripada 60 juta penduduk Itali atau 30 peratus yang berusia lebih 12 tahun sudah menerima suntikan vaksin COVID-19. 

Sumber: Berita Harian

Destination: