Itali Lanjut Lockdown Sehingga 3 Mei

TERKINI
April 13, 2020 - 01:14 PM


Hari ini (13 April), Itali sepatutnya mula bebas daripada perintah lockdown -- bagaimanapun Perdana Menterinya, Giuseppe Conte mengumumkan lockdown di seluruh negara itu dilanjutkan sehingga 3 Mei depan.

Keputusan itu dibuat memandangkan negara tersebut masih berjuang melawan penularan wabak COVID-19 yang sehingga kini telah meragut hampir 20,000 nyawa.

Conte dalam satu sidang media disiarkan stesen televisyen berkata keputusan itu - sebahagian daripada dekri darurat baharu - selepas berunding dengan saintis, pemimpin serantau dan perniagaan.

Hanya beberapa aktiviti dibenarkan dibuka semula mulai 14 April termasuk kedai buku dan alat tulis serta kedai pakaian bayi dan kanak-kanak.

"Ia keputusan yang sukar tetapi perlu dilakukan, untuk itu saya bertanggungjawab sepenuhnya. Kita tidak boleh menghentikan usaha yang sudah dibuat selama ini, jika kita mengalah sekarang...kita terpaksa mula balik dari awal," kata Perdana Menteri.

Sehingga kini, Itali mencatatkan 156,363 kes COVID-19 dengan rekod kematian kedua tertinggi selepas Amerika Syarikat.

Sumber: Bernama

Destination: