Tahniah Langkawi, Jadi Antara Lapangan Terbang Terbaik Di Dunia!

TERKINI
September 28, 2020 - 11:59 AM


Sebagai pintu masuk ke salah satu destinasi percutian paling popular di negara ini, iaitu Pulau Langkawi -- Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) diiktiraf antara 7 lapangan terbang terbaik di dunia!

Pengiktirafan itu diberikan oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) berdasarkan prestasi LGK yang terus cemerlang dalam memberikan perkhidmatan dan kemudahan yang terbaik kepada pelanggan.

Maklum balas daripada penumpang mengenai LGK diperoleh melalui Kaji Selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) suku tahun yang dijalankan setiap tahun oleh ACI sebagai penanda aras global untuk lapangan terbang dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata pengiktirafan daripada penumpang akan memberi motivasi kepada komuniti lapangan terbang dan rakan kongsi untuk terus memberikan yang terbaik walaupun menghadapi tempoh mencabar.

"Kami mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka yang berterusan dan berada di barisan hadapan.

"Kami berharap orang ramai akan mendapat semula keyakinan mereka terhadap perjalanan udara berikutan kami terus melaksanakan langkah-langkah keselamatan pada tahap tertinggi di lapangan terbang dan memastikan pengalaman penumpang tidak terjejas," katanya.

LGK akan menyertai ACI Director-General's Roll of Excellence yang diwujudkan pada 2011 untuk memberikan pengiktirafan tambahan kepada lapangan terbang yang memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang.

LGK telah disenaraikan dalam ACI Director-General's Roll of Excellence berdasarkan pencapaiannya yang memenangi pelbagai anugerah ASQ dalam tempoh lima tahun sejak 10 tahun lepas.

Lapangan terbang itu sentiasa mendapat markah yang tinggi untuk perkhidmatan pelanggan dan memenangi anugerah ACI seperti Lapangan Terbang Terbaik Mengikut Wilayah dan Lapangan Terbang Terbaik bagi saiz (dua - lima juta penumpang setahun).

"Pengiktirafan ini juga menjadi bukti kepada komitmen dan usaha kami untuk terus meningkatkan kualiti dan tahap perkhidmatan.

"Pasukan dipacu oleh janji kami untuk mewujudkan hubungan yang ceria, justeru, kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan dan kemudahan kami," kata Mohd Shukrie.

Pada tahun 2018, LGK dinaik taraf dan diperluaskan untuk menampung 4 juta penumpang setahun.

Lapangan terbang itu mencatatkan sebanyak 2.9 juta pergerakan penumpang pada 2019, meningkat lapan peratus daripada 2018.

Lapangan terbang itu juga telah melalui penambahbaikan yang berjaya dari segi komersial pada tahun lepas yang meningkatkan pengalaman runcit dan sajian makanan supaya penumpang dapat menikmati pengalaman unik di lapangan terbang.

Penambahbaikan itu telah menghasilkan beberapa pencapaian untuk pulau itu, yang membawa masuk jenama baharu seperti Charles & Keith, Costa dan Burger King.

Sumber: Bernama

Destination: