Pelancongan Langkawi 'Nazak', Persatuan & Pengusaha Feri Rayu Tamatkan PKPB

PANAS
November 20, 2020 - 04:52 PM


Beberapa persatuan mewakili sektor perhotelan, perniagaan serta pemandu pelancong di Langkawi merayu kerajaan menamatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di pulau peranginan itu yang kini disifatkan sedang ‘nazak’ ekoran ketiadaan pelancong.

Persatuan berkenaan ialah Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah dan Perlis, Persatuan Perniagaan Langkawi (Niagakawi), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) serta Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Kedah dan Perlis.

Turut sama membuat rayuan tersebut ialah Dewan Perniagaan Cina Langkawi, Persatuan Pemandu Pelancong Langkawi serta syarikat pengendali feri Konsortium Ferry Line Ventures.

Timbalan Presiden Niagakawi, Datuk Alexander Isaac berkata, industri pelancongan Langkawi semakin suram sekali gus menyebabkan kesan terhadap ekonomi penduduk yang amat bergantung kepada kehadiran pelancong.

“Kumpulan ini mewakili lebih 8,000 pekerja yang terlibat secara langsung atau tidak dalam sektor pelancongan. Kami merayu agar kerajaan menamatkan PKPB di Langkawi memandangkan pulau ini berada dalam kategori zon hijau.

“Ketika ini tiada pelancong yang datang, jika kerajaan menamatkan PKPB di Langkawi serta membenarkan perjalanan antara kawasan hijau, keputusan ini bakal memberi sinar kepada pulau ini,” katanya.

Alexander berkata, selain itu mereka juga berharap kerajaan memberi pertimbangan untuk menyediakan moratorium menyeluruh dan bantuan kewangan segera kepada semua peniaga di Langkawi agar dapat meneruskan perniagaan.

Pengerusi MAH Kedah dan Perlis, Eugene Dass pula berharap kerajaan meneruskan pemberian diskaun bil elektrik kepada sektor perhotelan memandangkan mereka telah kehilangan pendapatan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sektor pelancongan termasuk hotel terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, justeru kita amat memerlukan perhatian kerajaan, jika boleh selain diskaun bil elektrik, boleh diberi pertimbangan mengenai cukai tanah serta subsidi gaji diteruskan sehingga Jun tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Langkawi, Ku Chin Loon berkata, kira-kira 300 hingga 400 ahli persatuan itu kini bingung memikirkan pengumuman kerajaan pada Belanjawan 2021 berhubung pengenaan cukai ke atas rokok dan produk tembakau di semua pulau bebas cukai mulai 1 Jan tahun depan.

“Pelancong datang ke Langkawi kerana pakej menarik yang ditawarkan, mereka juga membuat pembelian barangan bebas cukai seperti rokok. Jika kerajaan teruskan keputusan ini, 300 hingga 400 ahli persatuan ini bakal terkesan.

“Kita baru sahaja mula nak berniaga kembali, bangkit selepas terjejas akibat COVID-19, kami harap kerajaan buat penilaian semula sebelum keputusan ini dilaksanakan,” katanya sambil menambah jualan rokok menyumbang 30 hingga 40 peratus pendapatan kepada ahli persatuan tersebut.

Sumber: Bernama

Artikel Berkaitan: Yeay, Sekarang Dah Boleh Bercuti Ke Langkawi. Pulau Tu Dah Diisytihar Zon Hijau!

Artikel Lain: Sehari Hanya 1 Perjalanan Feri Ulang Alik Ke Langkawi Dalam Musim PKPB

Destination: 
Artikel berkaitan