Tak Perlu Tangguh Atau Batalkan, 5 Pulau Di Terengganu Kini Selamat Dikunjungi - Polis
TERKINIKorang ada tak buat perancangan atau telah membuat tempahan untuk bercuti ke pulau-pulau di Terengganu?
Jika ada, korang tidak perlu bimbang untuk meneruskan percutian pulau tersebut memandangkan pihak polis sendiri telah memberi jaminan bahawa kesemua 5 pulau pelancongan utama di Terengganu kini selamat untuk dikunjungi!
Ia membabitkan :-
1) Pulau Perhentian di Besut
2) Pulau Kapas di Marang
3) Pulau Tenggol di Dungun
4) Pulau Redang
5) Pulau Lang Tengah di Kuala Nerus
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pengunjung yang telah membuat tempahan pakej pelancongan di pulau peranginan berkenaan tidak perlu menangguh atau membatalkan percutian mereka.
Justeru, pengunjung yang bimbang dengan situasi semasa disaran mendapatkan maklumat daripada pihak pengusaha resort yang beroperasi di kawasan itu.
"Di sini ingin saya memaklumkan, kesemua pulau telah menjalankan operasi atau pusat peranginan mereka dan resort-resort mereka beroperasi seperti biasa.
"Setakat ini, kelima-lima pulau di Terengganu, yang merupakan 'hotspot' pelancongan, telah pun dibuka dan Insya-Allah tidak ada masalah.
"Sebanyak 20 resort telah melaporkan pada pihak kita yang mereka beroperasi seperti biasa, dengan jumlah keseluruhan lebih 500 pengunjung," katanya.
Sebelum ini, kira-kira 400 pelancong terkandas di Pulau Perhentian pada 28 Februari lalu, ekoran cuaca buruk yang melanda Terengganu, sebelum keadaan kembali pulih sejak tiga hari lalu.
Sumber: Astro Awani