Taman Eko Rimba Gunung Pulai 1 Ditutup Sementara Akibat Kencing Tikus!

PANAS
February 14, 2020 - 10:53 AM


Ini ada satu berita penting untuk para hikers dan juga ibu bapa yang gemar membawa anak-anak bermandi-manda di sungai Taman Eko Rimba Gunung Pulai 1 dekat Kulai, Johor.

Mulai Rabu lepas (12 Februari 2020) sehingga 26 Februari ini, pusat rekreasi itu diarahkan ditutup kepada pengunjung berikutan beberapa kejadian leptospirosis atau kencing tikus.

Pihak Berkuasa Daerah Kulai dikatakan telah menerima makluman berhubung penutupan tersebut daripada Pejabat Kesihatan Daerah Kulai yang mengesahkan berlakunya kes kencing tikus di premis Taman Eko Rimba Gunung Pulai 1.

Perintah tutup di bawah Seksyen 18 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 itu adalah bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan agar kawasan berkenaan selamat bagi pengunjung.

Oleh itu, orang ramai dinasihati supaya tidak mengunjungi pusat rekreasi berkenaan sementara kerja-kerja pembersihan dilakukan.

Beberapa hari lepas, media sosial telah viral dengan gambar notis penutupan Taman Eko Rimba Gunung Pulai 1 oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kulai mulai 12 hingga 26 Feb ini ekoran jangkitan kencing tikus.

Sebelum ini, pusat rekreasi sama pernah ditutup kepada pengunjung antara Mei dan Jun 2017, juga akibat kencing tikus.

Sumber: Bernama

Destination: 
;