Zoo Tertua Di Malaysia, Zoo Johor Ditutup Sementara Selama 11 Hari
TERKINIZoo paling tua di Malaysia dan Asia Tenggara iaitu Zoo Johor ditutup sementara mulai hari ini (2 Mac 2020) sehingga 12 Mac 2020.
Penutupan selama 11 hari itu dibuat untuk memberi laluan kepada kerja-kerja mengorek, merentang dan memasang kabel elektrik di dalam kawasan zoo demi memastikan tahap keselamatan pengunjung lebih terjamin.
Pengumuman penutupan itu dibuat oleh pihak Zoo Johor dalam laman Facebook rasmi mereka.
Zoo Johor akan dibuka seperti biasa pada 13 Mac 2020 setelah segala kerja-kerja di kawasan yang terlibat selesai.
Zoo Johor yang mula dibuka sejak tahun 1928 oleh Almarhum Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar merupakan zoo paling tua di Malaysia dan yang pertama seumpamanya diwujudkan di Asia Tenggara pada 92 tahun lalu.
Zoo seluas 12.5 hektar itu kini menempatkan lebih 100 spesies binatang serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk pengunjung seperti taman permainan, gerai makanan, kawasan rekreasi dan tandas awam.
Zoo yang dibuka setiap hari dari pukul 8.30 pagi hingga 6 petang itu hanya mengenakan bayaran masuk yang sangat murah iaitu RM2 untuk dewasa dan RM1 bagi kanak-kanak.