Zoo Johor Ditutup Sementara Sehingga 15 Nov 2020

TERKINI
October 19, 2020 - 12:53 PM


Bagi korang yang ada di Johor dan mempunyai rancangan untuk membawa anak-anak berjalan-jalan di Zoo Johor -- mungkin korang terpaksa membatalkan dan menunda hasrat tersebut.

Ini kerana Zoo Johor ditutup sementara bermula semalam (18 Oktober) sehingga 15 November depan bagi membolehkan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur termasuk kandang haiwan dilaksanakan.

Penutupan tersebut juga telah dimaklumkan di laman Facebok rasmi Zoo Johor.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Ayub Jamil berkata penutupan sementara zoo itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan peningkatan kadar penularan pandemik COVID-19 atau berlaku kes jangkitan pandemik tersebut di kawasan berkenaan.

“Penutupan sementara ini adalah untuk membolehkan kerja-kerja menaik taraf yang lebih berat dibuat selepas projek menaik taraf bermula pada 6 Julai lepas. 

“Kerja-Kerja menaik taraf kandang haiwan itu membabitkan 12 sangkar dan kandang burung botak, buaya, badak, unta, tapir, harimau, singa, beruang matahari, cimpanzi, gajah, dan iguana,” menurutnya.

Beliau berkata meskipun kerja menaik taraf itu dilakukan, haiwan lain termasuk 83 mamalia, 135 reptilia, 14 primat dan 88 unggas yang berada di Zoo Johor tidak akan dipindahkan sebaliknya dijaga seperti biasa melalui kaedah pengasingan.

Sumber: Bernama & FB Zoo Johor

Destination: