Mulai Esok, Pelancong China & India Dikecualikan Visa Setahun Sempena TMM2020

TERKINI
December 31, 2019 - 11:49 AM


Bermula esok (1 Januari 2020), bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) pelancong dari 2 negara paling ramai di dunia, iaitu China dan India akan dikecualikan visa selama setahun.

Pengecualian visa itu adalah untuk tempoh lawatan terhad sehingga 15 hari, tanpa sebarang lanjutan yang telah diumumkan Kerajaan menerusi Akta Pasport 2019.

Di bawah peraturan baharu itu, pelancong dari China serta India perlu mematuhi beberapa perkara untuk mendapatkan pengecualian visa tersebut iaitu:

1) Perlu berdaftar dalam sistem pendaftaran dan maklumat perjalanan elektronik, secara sendiri atau melalui agensi pelancongan yang berdaftar dengan pejabat perwakilan Malaysia di China atau India.

2) Pelancong hendaklah melakukan perjalanan ke Malaysia dalam tempoh 3 bulan selepas berdaftar dalam sistem pendaftaran dan maklumat perjalanan elektronik.

3) Pelancong dari China dan India perlu mempunyai tiket penerbangan balik terus ke India atau ke negara lain, jika melakukan perjalanan melalui udara.

4) Pelancong dari 2 negara itu perlu menunjukkan bukti mereka mempunyai wang poket mencukupi, kad kredit atau kad bank serta jadual perjalanan di Malaysia.

5) Pelancong China dan India perlu masuk serta keluar dari Malaysia melalui lapangan terbang dan 7 pintu masuk yang tersenarai seperti :

- Bangunan Sultan Iskandar di Johor 

- Stesen Keretapi Johor Bahru

- Pos Kawalan Imigresen Kompleks Sultan Abu Bakar di Tanjung Kupang, Johor

- Padang Besar di Perlis

- Bukit Kayu Itam di Kedah

- Sungai Tujoh di Sarawak

- Pos Kawalan Imigresen Tedungan di Batu Danau Limbang Bahagian Kelima, Sarawak

6) Pelancong berkenaan juga dibenarkan mendaftar semula untuk memasuki Malaysia selepas tempoh 45 hari dari tarikh mereka meninggalkan Malaysia.

Penggubalan akta baharu itu dilaksanakan berikutan setiap tahun ramai rakyat kedua-dua negara tersebut berkunjung ke luar negara, dan inisiatif pengecualian visa berkenaan akan membantu meningkatkan jumlah kedatangan mereka ke Malaysia.

Sebagai contoh, 150 juta warga China mempunyai pasport antarabangsa yang melancong setiap tahun.

Justeru, Malaysia ingin mengikut jejak langkah Thailand yang berjaya menarik 10 juta pelancong China pada tahun lepas.

Dianggarkan 4 juta pelancong China dan 2 juta dari India akan berkunjung ke negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Sumber: Berita Harian

Destination: