Jalan-Jalan Pusing Satu Malaysia Guna 'Motosikal Besar'

TERKINI
December 30, 2019 - 10:32 AM


Berkunjung ke tempat-tempat pelancongan terkenal di sekitar ibu negara sememangnya bukan mudah apabila kadang-kala kita terpaksa menempuh kesesakan jalan raya dan trafik tinggi untuk tiba di destinasi.

Namun dengan adanya sebuah produk pelancongan baharu bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020 iaitu “Big Bike In The City” --- kini pelancong tempatan dan antarabangsa boleh merasai pengalaman menjadi pembonceng atau penunggang motosikal berkuasa tinggi untuk berjalan-jalan ke destinasi menarik di seluruh negara.

Malah, pelancong juga boleh menikmati suasana Malaysia yang berbeza daripada kota metropolis yang sibuk kepada desa yang menenangkan menerusi mod pengangkutan alternatif ini.

Inisiatif terbaharu ini adalah hasil kerjasama antara pihak Tourism Malaysia menerusi Malaysia Association Tour Agency (MATA) sebagai persediaan untuk menyambut ketibaan 30 juta pelancong asing dan meraih perolehan sebanyak RM100 bilion yang disasarkan sempena TMM 2020, tahun hadapan.

Perkhidmatan Big Bike in The City disediakan oleh Nomad Motorcycle Adventure dan 70 motosikal berkuasa tinggi terbabit dalam majlis pelepasan selepas pelancaran perkhidmatan tersebut baru-baru ini.

Sebagai simbolik, kumpulan bermotosikal itu melawat kawasan-kawasan menarik di sekitar pusat bandar bermula daripada The Love @ MaTic, melalui Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan, Jalan Bukit Bintang, Dataran Merdeka, Memorial Tugu Negara, Istana Negara, Batu Caves dan Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Sumber: Harian Metro

Destination: