Terbangkan Diri Ke Kereta Anda, Hati-hati Scam Terbaru Warga Asing!

TERKINI
April 15, 2022 - 04:30 PM


Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar yang terbabit dalam rakaman video tular di media sosial yang memaparkan tindakannya yang sengaja melompat ke atas cermin hadapan sebuah kenderaan yang sedang bergerak seolah-olah terbabit kemalangan.

Kejadian berlaku di Jalan Goh Hock Huat, dekat sini pada 7 April lalu itu memaparkan tindakan lelaki berusia 25 tahun berkenaan yang melintas jalan secara melulu sehingga mendatangkan bahaya.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao mengesahkan lelaki terbabit ditahan di tempat kerjanya di Jalan Shahpadu di Rantau Panjang dekat sini sekitar jam 10 pagi tadi.

"Lelaki berkenaan akan ditahan reman untuk siasatan lanjut dan polis percaya dia bergerak sendiri dan bukannya membabitkan kegiatan sindiket.

"Kes akan diklasifikasikan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang juga pemandu kereta yang terbabit insiden itu kira-kira jam 12 tengah hari pada hari sama.

Katanya, kejadian berlaku apabila pemandu kereta membelok ke kiri dan secara tiba-tiba seorang pejalan kaki melintas di jalan berkenaan.

"Difahamkan, lelaki berkenaan berada di tengah jalan secara tiba-tiba dan terus berlari, seterusnya melompat ke arah cermin hadapan kereta.

"Bagaimanapun, lelaki berkenaan terus beredar dari lokasi selepas pemandu memaklumkan keretanya mempunyai kamera papan pemuka dan kejadian itu dirakam," katanya.

Sumber: Berita Harian

Destination: