Thai Airways Bakal Ditutup?

TERKINI
October 23, 2019 - 03:15 PM


Siapa di sini yang biasa dan pernah terbang menggunakan syarikat penerbangan nasional Thailand iaitu Thai Airways?

Ini satu berita yang agak mengejutkan dan turut menyedihkan apabila Presiden Thai Airways International, Sumeth Damrongchaitham, semalam (Selasa) berkata syarikat itu kini sedang berada dalam krisis dan berkemungkinan ditutup.

Beliau dilaporkan berkata demikian ketika menghantar mesejnya kepada eksekutif Thai Airways semasa sesi latihan di ibu pejabat syarikat penerbangan itu.

"Hari ini saya mahu kakitangan bersatu untuk mengatasi halangan. Jika tidak, syarikat penerbangan nasional mesti ditutup. Masih ada masa untuk penyelesaian, tetapi tidak banyak masa," kata Sumeth kepada Bangkok Post.

Pada tahun ini, Thai Airways berdepan dengan persaingan yang sangat sengit hingga kehilangan kepimpinan pasarannya dalam beberapa laluan.

Jika sebelum ini laluan utara yang menghasilkan satu pertiga daripada pendapatan Thai Airways, tetapi kini ia dikuasai oleh syarikat penerbangan tambang murah.

Justeru, Thai Airways benar-benar  berada dalam krisis dan perlu melakukan yang terbaik pada tahun depan, sekiranya tidak ingin berdepan risiko penutupan operasi buat selama-lamanya.

Buat masa ini, Thai Airways yang menggaji lebih 20,000 pekerja dikatakan akan menurunkan kos dengan mengurangkan gaji kakitangan pengurusan dan mengikuti dasar inventori sifar di jabatan kateringnya.

Pada separuh pertama tahun ini, syarikat penerbangan tersebut mencatatkan kerugian sebanyak 6.44 bilion Baht, sekaligus meningkatkan kerugian terkumpulnya kepada 280 bilion Baht. 

Sumber: Berita Harian 

Destination: