Selepas Tertangguh 9 Tahun, Akhirnya Lapangan Terbang Berlin Bakal Dibuka Tahun Depan!
TERKINISelepas menanggung malu kerana terpaksa menangguhkan pembukaan rasmi lapangan terbang barunya selama 9 tahun, akhirnya Jerman bakal memulakan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Berlin-Brandenburg pada 31 Oktober 2020.
Pembinaan lapangan terbang baru itu yang tertangguh sekian lama gagal dibuka mengikut jadual kerana mengalami masalah struktur dan skandal rasuah.
Sekiranya kali ini berjaya dibuka seperti yang dirancang, semua syarikat terlibat termasuk syarikat penerbangan kos rendah EasyJet akan memindahkan operasi mereka ke lapangan terbang baru itu pada 31 Oktober sebelum disusuli pemindahan fasa kedua oleh syarikat lainnya pada 3 dan 4 November.
Kemelut pembinaan Lapangan Terbang Berlin-Brandenburg ini telah menjadi satu bahan lawak dalam kalangan penduduk Jerman sejak tahun 2012 lagi.
Ia selepas pihak Kerajaan merancang untuk menutup Lapangan Terbang Antarabangsa Berlin-Tegel yang dibina sejak dari era Perang Dingin dalam tempoh enam bulan menjelang pembukaan lapangan terbang baru itu yang pada awalnya dijadualkan dibuka pada Jun 2012.
Malangnya, rancangan itu terpaksa ditangguhkan ketika tempoh pembukaan hanya berbaki tiga minggu, menyebabkan ratusan syarikat penerbangan terpaksa menyusun semula penerbangan masing-masing pada saat akhir.
Lebih memburukkan keadaan apabila projek berkenaan kemudian ditangguhkan lagi untuk satu jangka masa agak panjang atas dakwaan rasuah dan masalah teknikal.
Disebabkan segala kemelut tersebut, kos pembinaan satu-satunya lapangan terbang antarabangsa di ibu negara Jerman itu telah menelan belanja berganda banyaknya iaitu daripada 1.7 bilion Euro menjadi 6.5 bilion Euro.