Thailand Dilanda Musim Sejuk Pada Disember & Januari Depan!

TERKINI
October 11, 2019 - 04:36 PM


Ada tak antara korang yang merancang percutian ke Thailand pada hujung tahun ini atau awal tahun depan?

Kalau ada, ini berita yang perlu korang beri perhatian.

Jabatan Meteorologi Thailand menjangkakan negara itu bakal mengalami cuaca sejuk apabila suhu diramal  menurun antara 14 hingga 16 darjah Celsius pada bulan Disember dan Januari.

Musim sejuk dikatakan akan melanda bahagian utara dan timur laut Thailand dan dijangka bermula pada pertengahan Oktober dan berakhir pertengahan Februari tahun depan.



Suhu minimum di sekitar utara Thailand dijangka antara 20 hingga 21 darjah Celsius dan lebih sejuk berbanding tahun lepas.

Manakala suhu minimum yang melampau adalah di antara 7 hingga 8 darjah Celsius yang berada di sekitar bahagian utara dan timur laut.

Sementara di ibu negaranya, Bangkok, suhu boleh mencecah sehingga 15 dan 17 darjah Celsius.



Cuaca yang lebih sejuk dijangka bermula pada separuh kedua bulan Disember hingga akhir Januari.

Malah, bagi kawasan di pergunungan dan puncaknya, cuaca akan menjadi terlalu sejuk sehingga membentuk fros.



Di kawasan lain seperti di selatan Thailand, cuaca sejuk boleh berlaku di beberapa kawasan pada hari-hari tertentu manakala di sebelah pantai timur hujan dijangka turun lebih kerap terutama pada bulan November dan Disember.

Sumber: Bernama

Destination: