UAE 'Buka Pintu' Untuk Perjudian, Pusat Kasino Mewah Bakal Dibuka Tak Lama Lagi

TERKINI
February 15, 2022 - 11:46 AM


Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan negara itu membenarkan aktiviti ‘perjudian’ susulan mengadakan perjanjian dengan pengendali kasino gergasi, Wynn Resorts yang bertapak di Las Vegas. 

Lapor Daily Mail, Wynn Resorts merancang untuk membina resort mewah mencecah harga bilion dolar di Ras al-Khaimah di pulau buatan Al-Marjan.

Resort tersebut akan dibuka pada 2026 yang turut mengandungi 1,000 bilik hotel mewah, pusat beli-belah, pusat konvensyen dan ‘kawasan perjudian’. Fasiliti lain yang turut disediakan di kompleks itu termasuk spa eksklusif, 10 restoran aneka pilihan dan ruang rehat. Tetamu di resort tersebut juga bakal dihidangkan dengan pemandangan menakjubkan teluk Arab. 

Pengumuman itu dibuat selepas khabar angin bertiup kencang sebelum ini mengenai aktiviti perjudian yang akan dihalalkan di UAE. 

Sebelum ini, pengendali kasino, Caesars Palace membina pusat peranginan besar-besaran di Dubai tanpa melibatkan sebarang aktiviti perjudian.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Wynn Resorts dan Ras al-Khaimah hanya merujuk ‘perjudian’ tanpa mengulas lanjut mengenai perkara itu. 

Menurut The Associated Press, Pihak Berkuasa Pembangunan Pelancongan UAE berulang kali enggan menjawab soalan sama ada perjudian melibatkan pertaruhan tunai. 

Bagaimanapun, kenyataan daripada pihak berkuasa menjelaskan, bahagian permainan baharu menuntut ‘pematuhan terhadap semua undang-undang dan peraturan yang terpakai termasuk undang-undang jenayah kewangan daripada pengendali, pembekal dan pekerja’. 

Pihaknya juga akan memastikan ‘permainan yang bertanggungjawab di semua peringkat’.

Destination: