Ukiran Topeng Mah Meri Cenderamata Khas Sempena TMM 2020

TERKINI
November 14, 2019 - 01:20 PM


Salah satu produk pelancongan yang terkenal di Negeri Selangor adalah khazanah adat dan budaya yang dimiliki oleh masyarakat Orang Asli daripada suku kaum Mah Meri di Pulau Carey.

Suku kaum itu bukan sahaja kaya dengan pengetahuan mengenai alam, malah mereka juga berbakat besar dalam mengukir serta menghasilkan pelbagai produk kraf seperti topeng muka yang menjadi simbol dan identiti penting kepada kaum Mah Meri.

Justeru tidak hairanlah, produk kraf seperti ukiran topeng Mah Meri yang sememangnya cukup terkenal dalam kalangan pelancong antarabangsa telah diadaptasi menjadi penanda buku dan magnet peti sejuk untuk dipasarkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).



Produk tersebut adalah hasil kerjasama pengukir masyakarat Orang Asli daripada suku kaum Mah Meri dan pereka Kraftangan Malaysia daripada sesi makmal pengeluaran yang diadakan di Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey.

5 jenis produk telah dihasilkan oleh pengukir dan usahawan terlibat untuk dipasarkan di dalam dan luar negara.

Selain topeng, suku kaum Mah Meri juga menghasilkan penanda buku dan perhiasan diri daripada anyaman mengkuang pandan yang berwarna-warni.

Mereka juga turut menghasikan selendang ‘ekoprint’ menggunakan daun-daun asli yang didapati dari Pulau Carey.

Selain mempromosikan pelancongan budaya di Selangor, penghasilan produk kraf berkenaan juga dapat  membuka peluang pekerjaan dan memberi pendapatan sampingan buat suku kaum Orang Asli tersebut.



Bagi etnik Mah Meri yang berasal dari Pulau Carey, topeng seperti Moyang Pengkol dan Moyang Bojos dijadikan sebagai simbol penting yang digunakan dalam pelbagai istiadat, termasuk penyembahan, merawat penyakit dan menolak bala kaum itu.

Istimewanya kraf itu diperbuat daripada kayu nerih batu, yang mudah diukir dan memberi kehalusan kepada produk tersebut.

Produk hasil kraftangan suku kaum Mah Meri akan turut dipertandingan pada ‘Malaysian Good Design Award’ bersama 1,400 produk baharu yang lain bagi merancakkan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Sumber: Bernama

 

Destination: