Kepulauan Raja Ampat Tawar Pelancong Tukar Sampah Dengan Syiling Emas!
TERKINIAnda nak bercuti ke "syurga laut" tercantik di dunia dan dapat syiling emas percuma? Mesti ramai yang nak, kan!
Bermula 19 hingga 22 Oktober ini, cuba anda travel ke Kepulauan Raja Ampat dan jika ternampak ada sampah sarap di sana anda boleh tukarkannya dengan syiling emas.
Memetik laporan agensi berita Antara, bersempena Festival Bahari (Maritime Commemoration), pemerintah Kabupaten Raja Ampat menawarkan kepada para penduduk dan pelancong untuk menukar sampah plastik seberat 15 kilogram dengan 1 gram syiling emas.
Tawaran istimewa itu adalah bagi memastikan agar kepulauan yang semakin popular sebagai destinasi pelancongan terkemuka di Indonesia itu, kekal bersih.
Menurut Ketua Dewan Pimpinan Cabang Himpunan Pramuwisata Indonesia Raja Ampat (Pengurus Lembaga Pelancong Raja Ampat), Ranny Iriani Tumundo, program pertukaran sampah dengan syiling emas itu akan dijalankan di Pantai Raja Ampat bagi mendidik masyarakat setempat dan pelancong tentang pentingnya memulihara alam sekitar.
Kepulauan Raja Ampat, yang terletak di bahagian barat wilayah Papua Barat, terkenal dalam kalangan penyelam kerana keindahan batu karang, panorama kepulauan yang memukau.
Malah, ia kini diiktiraf sebagai "syurga laut" tercantik di dunia.
Kepulauan Raja Ampat terdiri daripada empat pulau utama iaitu Pulau Waigeo, Pulau Misool, Pulau Salawati dan Pulau Batanta.
Sumber: Bernama