Teringin Daki Gunung Rinjani Tapi Tak Fit? Jangan Risau Lepas Ni Ada Kereta Kabel

TERKINI
February 03, 2020 - 01:38 PM


Jika bercuti ke Lombok, Indonesia antara salah satu destinasi wajib singgah dan paling gemar dilakukan oleh pelancong adalah mendaki Gunung Rinjani.

Ini ada berita baik untuk mereka yang teringin ke Gunung Rinjani tetapi tidak memiliki kekuatan fizikal yang mantap untuk menawannya.

Gunung Rinjani dikhabarkan bakal mempunyai perkhidmatan kereta kabelnya sendiri iaitu sepanjang 10 kilometer dan pengunjung berpeluang menikmati pemandangan indah Danau Segara Anak di pergunungan tersebut.

Mengikut laporan berita Indonesia, kereta kabel berkenaan akan dibina bermula di sebuah kawasan perhutanan di Karang Sidemen, Lombok Tengah dan berakhir di kawasan hutan simpan di Rinjani Barat.

Buat masa ini, idea pembinaan kereta kabel secara dasarnya telah dipersetujui namun pihak berkuasa masih lagi menjalankan pelbagai kajian terperinci melibatkan kesesuaian ruang, kesan kelestarian alam, reka bentuk kejuruteraan, rekaan tapak dan sebagainya.

Selepas kereta kabel itu memulakan operasinya, para pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan tersebut dan menyambung pendakian sekitar jarak 5 kilometer sahaja untuk sampai ke lokasi danau yang cantik untuk aktiviti camping.

Gunung Rinjani sememangnya menjadi lokasi favorit rakyat Malaysia untuk melakukan pendakian sekiranya mereka berkunjung ke negara jiran itu.

Selain memiliki keindahan semulajadi yang luar biasa, Rinjani yang memiliki ketinggian 3726 meter di atas permukaan laut turut digazetkan sebagai kawasan UNESCO Global Geopark serta menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia.

Sumber: Tempo.co

Destination: