Candi Borobudur Ditutup Sementara Kepada Pelancong, Tetapi Hanya Tingkat 9 & 10
TERKINIBagi sesiapa yang bercuti ke Yogyakarta, Indonesia pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk berkunjung ke Candi Borobudur yang merupakan salah satu tarikan popular pelancong.
Namun, bermula hari ini (Khamis), monumen warisan terkenal di Magelang, Jawa Tengah itu ditutup sementara untuk kunjungan orang ramai tetapi hanya di tingkat 9 & 10 sahaja.
Penutupan sementara kedua-dua tingkat tersebut adalah sebahagian daripada program pemantauan bagi usaha pemuliharaan teras serta struktur utama candi berkenaan.
Sepanjang penutupan beberapa kerja-kerja penyelenggaraan batu, kestabilan struktur, pembaikan kerosakan yang dilakukan oleh pengunjung serta beberapa bahagian kuil akan dilakukan.
Bagi pelawat yang berkunjung ke situ, mereka masih dibenarkan untuk menikmati pemandangan indah Candi Borobudur dari tingkat 8.
Keputusan untuk menutup sementara 2 tingkat candi itu juga merupakan usaha pemuliharaan Borobudur dan mendidik golongan pelancong supaya lebih bertanggungjawab dan tidak melakukan sebarang kerosakan terutama di teres 8 hingga 10.
Ini kerana didapati pelancong paling banyak melakukan vandalisme di kawasan itu dengan duduk atau memanjat dinding candi, membuang sampah secara merata-rata, melekatkan 'chewing gum' di permukaan batuan candi, merokok malah ada juga pengunjung yang melakukan lompatan 'parkour' di kompleks berkenaan.
Bagaimanapun, sehingga bila atau untuk tempoh berapa lama Candi Borobudur itu ditutup tidak dinyatakan.
Sumber: Jakarta Post