Sabah Mula Terima Pelancong Antarabangsa 1 September Ini?
TERKINISabah yang sememangnya terkenal sebagai destinasi percutian menarik bagi pelancong tempatan dan luar negara, bakal menjadi negeri pertama di Malaysia yang membuka semula pintunya kepada pelancong antarabangsa menjelang 1 September depan.
Memetik laporan Bernama, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew memaklumkan pembukaan semula itu akan dilakukan dengan melihat kepada keadaan semasa pandemik COVID-19 dan juga nasihat daripada Kementerian Kesihatan di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Bagaimanapun, negara yang akan mendapat lampu hijau daripada Sabah adalah yang terpilih sahaja.
“Kami menantikan pembukaan semula sektor antarabangsa (pelancong), tetapi kami akan sangat selektif,” katanya.
Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata agensi di bawah kementeriannya, terutama Lembaga Pelancongan Sabah (STB) selalu mengikuti maklumat berkaitan perkara itu dari negara lain.
Sabah telah membuka semula sektor pelancongannya secara berperingkat dengan membenarkan operasi pasar malam di Jalan Gaya itu.
Malah aktiviti mendaki di Gunung Kinabalu juga telah dibuka sejak 16 Mei lalu dan berjaya menarik kira-kira 2,000 pendaki, kebanyakannya pengunjung tempatan.
Sementara itu, mengenai pelancong dari China, yang menyumbang kedatangan pelancong paling ramai ke Sabah sebelum sekatan akibat pandemik global COVID-19, Liew berkata satu pertemuan akan diadakan bersama Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Liang Caide minggu hadapan mengenai perkara itu.
Beliau berkata bukan semua kawasan di China terjejas dengan COVID-19 dan pertemuan itu akan membincangkan, antara lain mengenai bagaimana mempercepat kedatangan pelancong dari kawasan berkenaan.
Dari Januari hingga November tahun lepas, STB merekodkan 3.766 juta kedatangan pelancong dengan kebanyakannya dari China.
Sumber: Bernama