Vaksin Untuk Golongan Usia 12-17 Tahun Akan Mula Diberikan

TERKINI
August 13, 2021 - 03:42 PM


Adakah ini satu langkah untuk meneruskan pelan pembukaan semula sekolah pada September ini? 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini meluluskan untuk memperluaskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kepada kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagaimanapun PICK untuk remaja itu dibahagikan kepada dua golongan.

Individu berusia 12 hingga 15 tahun yang mempunyai masalah kesihatan tertentu serta semua individu berusia 16 dan 17 tahun dengan atau tanpa mempunyai masalah kesihatan tertentu. Namun, implemestasi tersebut bergantung kepala bekalan vaksin yang ada. 

Remaja yang mempunyai masalah kesihatan tertentu perlu menjalani penilaian pra-vaksinasi oleh pegawai atau pakar perubatan. Penilaian tersebut bakal dibuat berdasarkan status kesihatan semasa, sejarah perubatan, sejarah alergik serta rawatan atau ubatan yang sedang diterima.

Penilaian tersebut hanya perlu dilalui oleh tiga kategori sahaja iaitu individu yang mempunyai sejarah alahan yang teruk, individu yang mengalami kelemahan sistem imun disebabkan oleh penyakit atau rawatan diterima serta individu yang menerima rawatan ubat pencair darah atau mempunyai masalah kesihatan sehingga menyebabkan kecenderungan mengalami pendarahan.

Bagi memastikan keselamatan remaja yang mempunyai masalah kesihatan tertentu terjamin, mereka yang dinilai sebagai berisiko ini akan menerima vaksin di hospital atau institusi perubatan bagi membolehkan rawatan kecemasan serta rawatan lanjut dapat diberikan dengan kadar segera sekiranya perlu.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pemberian vaksin COVID-19 kepada remaja selepas mengambil kira data dan pandangan penilaian calon vaksin.