Dos Penggalak : Malaysia Sah Guna Vaksin Campuran Bermula Oktober Ini

TERKINI
October 04, 2021 - 04:49 PM


Ini berita terbaharu mengenai program vaksinasi di Malaysia.

Bermula bulan Oktober ini, pemberian dos penggalak kepada individu yang telah lengkap vaksin akan diteruskan dengan kaedah secara 'heterologous vaccination' atau penggunaan vaksin yang berbeza daripada vaksin asal yang telah diterima sebelum ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata Kerajaan disyor untuk melakukan itu selepas ia dikemukakan Jawatankuasa Kecil Teknikal yang dipengerusikan Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal, Institut kesihatan Negara (NIH) Dr Kalaiarasu M. Peariasamy kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) pada mesyuarat minggu lepas.

“Kajian berkenaan keselamatan ini telah pun dilaksanakan dan disyorkan untuk kita teruskan dengan program vaksin heterologus kita,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) di Dewan Rakyat hari ini berhubung perkara itu.

Sebelum ini kerajaan mempertimbangkan kaedah campuran dua vaksin berkenaan sebagai sebahagian pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi meningkatkan antibodi peneutralan serta keberkesanan vaksin berikutan banyak negara sudah berbuat demikian.

Sarawak memulakan pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 bulan ini, sekali gus menjadi negeri pertama yang memulakan inisiatif itu dengan fokus kepada golongan berisiko tinggi berusia 60 tahun ke atas, serta mereka yang mempunyai komorbid serius.

Sementara itu, mana-mana individu yang disahkan tidak boleh divaksin kerana faktor-faktor perubatan termasuk alahan boleh memohon sijil digital khas atau sijil pengecualian.

Khairy Jamaluddin berkata permohonan tersebut boleh dibuat di aplikasi MySejahtera melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdekatan dengan mengemukakan 'Slip Penilaian Kesesuaian Menerima Vaksin COVID-19 bagi Pesakit dengan Masalah Kesihatan Tertentu'.

Jika permohonan lengkap dan menepati syarat-syarat yang ditetapkan, sijil pengecualian akan dikeluarkan dalam tempoh seminggu.

"Pakar perubatan akan menasihati jenis vaksin yang lain yang bersesuaian dan perkara ini ada dalam Garis Panduan Klinikal Kementerian Kesihatan (KKM). Sebagai contoh, seseorang itu mempunyai alahan kepada vaksin jenis Pfizer, vaksin jenis lain seperti Sinovac boleh diberikan.

"Sekiranya individu itu disahkan tidak boleh mengambil vaksin atasu sebab-sebab perubatan, individu tersebut perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan lebih ketat secara kendiri seperti memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan. Ini kerana individu tersebut lebih berisiko untuk dijangkiti COVID-19," katanya.

Khairy (BN-Rembau) berkata demikian menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) yang minta Menteri Kesihatan menyatakan alternatif yang tersedia buat individu yang tidak boleh divaksinasi atas faktor-faktor berkaitan kemudaratan kesihatan; dan pewujudan dokumentasi yang dikhususkan bagi golongan tersebut untuk tujuan pergerakan fizikal.

Mengulas lanjut, Khairy berkata pengesahan pengecualian divaksin perlu disahkan oleh pakar-pakar berdaftar yang merawat individu terbabit.

"Pertama pakar perubatan di hospital swasta yang merawat individu atau pakar perubatan atau pegawai perubatan yang merawat semasa ketiadaan pakar perubatan di hospital kerajaan yang berpakar, atau pakar perubatan keluarga di klinik kerajaan," katanya.

Menjawab soalan tambahan berhubung kehilangan kad vaksinasi bagi individu yang tidak memiliki peranti digital, Khairy berkata, individu terbabit boleh memaklumkan kehilangan kad berkenaan kepada PKD terdekat.

Katanya, prosedur tertentu akan diteliti untuk mengeluarkan semula kad vaksinasi tersebut.

Sumber: BERNAMA

Destination: