Perhatian Remaja 12-17 Tahun! Standby Untuk Korang Dapatkan Vaksin Bermula 20 Sept

TERKINI
September 20, 2021 - 03:50 PM


Ini berita baik untuk golongan remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun!

Bermula hari ini (20 September) -- Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja bakal diberikan kepada golongan anak muda yang membabitkan seramai 3.2 juta orang.

Perkara itu diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Terdapat beberapa kaedah pelaksanaan PICK Remaja, antaranya:

1) Outreach = secara jangkau luar ke sekolah atau institusi secara berjadual

2) Suntikan di klinik kesihatan dan hospital

3) Walk-In = kaedah jumpa terus di pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih di seluruh negara.

Senarai PPV khas untuk remaja mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 secara jumpa terus akan diumumkan esok (21 September).

Bagaimanapun, remaja yang menerima suntikan vaksin Covid-19 perlu hadir bersama ibu bapa atau penjaga bagi menandatangani borang persetujuan terima vaksin.

Namun, golongan remaja yang mempunyai masalah kesihatan akan diberi pengecualian daripada menerima suntikan vaksin.

Menurut Khairy, pelaksanaan PICK Remaja adalah penting sebagai persediaan untuk pembukaan sekolah pada Oktober ini bagi memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan serta mencegah kejadian kluster dan kes dalam kalangan warga sekolah.

Untuk rekod -- PICK Remaja telah dimulakan lebih awal di Sarawak pada 8 September dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 11 September selepas kadar vaksinasi di negeri dan wilayah tersebut mencapai 80 peratus.

PICK Remaja di Sabah pula dimulakan pada 16 September kerana sebahagian besar remaja tinggal di kawasan pedalaman dan memerlukan lebih masa bagi aktiviti jangkau luar.

Sehingga 16 September -- seramai 86,076 remaja telah diberikan dos pertama vaksin Covid-19 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Sebanyak 60 peratus remaja antara 12 dan 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 pada November ini manakala 80 peratus mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022.

Sumber: Harian Metro

Destination: