Wow, Ipoh Bakal Ada LRT Sendiri?

TERKINI
November 19, 2021 - 01:36 PM


Sejak beberapa hari ini, viral di media sosial travel yang memaparkan perkongsian gambar-gambar lokasi menarik di sekitar Ipoh, Perak dihiasi dengan tren LRT (Transit Aliran Ringan).

Rupa-rupanya idea di sebalik gambar viral tersebut adalah disebabkan terdapat ura-ura atau cadangan untuk pihak berkuasa mewujudkan perkhidmatan LRT di Bandaraya Ipoh sebagai persediaan pembangunan pada masa hadapan.

Ia sesuai dengan status Ipoh yang terkenal sebagai destinasi popular pelancongan dan makan-makan, serta bergelar bandaraya kedua terbesar di Malaysia selepas George Town, Pulau Pinang.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata walaupun mungkin tidak dilaksanakan dalam masa terdekat, tetapi perancangan ke arah itu perlu dilakukan dari sekarang.

“Tidak salah untuk Ipoh mempunyai perkhidmatan LRT, malah kita tidak boleh terlalu ketinggalan, jadi kita perlu merancang keperluan masa hadapan.

“Pulau Pinang misalnya telah merancang untuk mempunyai perkhidmatan LRT sejak 2010. Begitu juga bandaraya lain seperti Iskandar Puteri di Johor, Seremban (Negeri Sembilan) dan Melaka,” ujarnya.

Perak berhasrat membangunkan sistem pengangkutan LRT di bandar raya ini sebagai usaha mengatasi masalah kesesakan dan menambah baik kemudahan awam pada masa hadapan.

Menurut Draf Rancangan Tempatan Bandar Raya Ipoh 2035 yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), cadangan melibatkan dua laluan dengan masing-masing 16 stesen.

Sebanyak 28 stesen LRT dicadang bakal dibangunkan di Bandar Raya Ipoh dengan jumlah jarak keseluruhan 58 kilometer.

Mengulas lanjut kata Rumaizi, projek LRT hanya dibangunkan selepas tahun 2035 iaitu apabila kerja-kerja infrastruktur siap dibina.

Katanya, tempoh 15 tahun menjelang masa itu bukan angka yang panjang. Justeru warga Ipoh perlu bersedia untuk menerima kemajuan sistem pengangkutan yang setaraf dengan status bandaraya.

Sumber: K! ONLINE

Destination: