MAS Tawar Tiket Penerbangan & Penginapan Percuma Untuk Kanak-Kanak

August 11, 2020 - 11:47 AM


Bermula sekarang hingga 2 September 2020, orang ramai boleh menempah pakej menarik yang ditawarkan anak syarikat Malaysia Airlines iaitu MHholidays -- berupa tiket penerbangan dan penginapan percuma bagi kanak-kanak 'Kids + Stay Free' yang membolehkan para pelanggan menikmati sehingga 60 peratus harga pakej percutian.

Pakej tersebut meliputi tiket penerbangan ulang-alik, bagasi, makanan semasa penerbangan dan penginapan hotel bagi perjalanan segera yang dibuat sehingga 31 Januari 2021.

Dengan menempah pakej itu, pelanggan layak mendapatkan sebuah pakej tambahan yang meliputi tiket penerbangan dan penginapan bagi maksimum seorang kanak-kanak yang berusia antara tiga hingga 11 tahun atau di bawah usia dua tahun.

Harga pakej bagi penerbangan serta penginapan selama 3 hari 2 malam bermula dari RM189 hingga RM389  untuk penerbangan ke Kota Kinabalu, Johor Bahru, Kuantan, Langkawi, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

"Kami juga berbesar hati kerana mempunyai rakan-rakan industri yang mengendalikan hotel sebaik empat atau lima bintang. Mereka sanggup bekerjasama dengan MHholidays untuk menawarkan tawaran hebat bagi kempen ini. Inilah masa yang sesuai bagi para pelanggan merancang perjalanan sehingga tahun depan," kata Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan kumpulan Malaysia Airlines Lau Yin May dalam satu kenyataan.

Bukan itu sahaja, malah para pelanggan yang menempah perjalanan dengan MHholidays akan layak bagi buku tawaran '‘MHholidays & Suria Sabah Shopping Mall Privilege Booklet' yang menawarkan diskaun tambahan seperti potongan harga 20 peratus untuk pembelian di Big Apple Donuts & Coffee, Birkenstock, Purest Borneo dan Under Armour, selain tawaran sedia ada di Sabah.

Selain itu, syarikat penerbangan tersebut juga bekerjasama dengan badan Pelancongan Sabah untuk menjayakan kempen #BahMarilah yang menawarkan potongan harga sehingga 50 peratus bagi pakej percutian. Diskaun itu ditawarkan sehingga 24 Ogos ini.

Sumber: BERNAMA
 

Destination: