Rakyat Malaysia Hanya Mahu Kembali Hidup Tanpa Pelitup Muka Dan Pulang Ke Kampung

PILIHAN EDITOR
September 03, 2021 - 01:00 PM


Hari ini (3 September), kita dah pun berada di dalam PKP selama 534 hari, dan ramai yang beranggapan bahawa rakyat Malaysia dah mula 'mengidam' untuk melancong. Namun, rakyat Malaysia kini hanya mengidamkan kehidupan tanpa pelitup muka, dan ramai yang hanya rindukan kampung halaman.  

2 aktiviti utama yang rakyat Malaysia paling ingin lakukan adalah berjumpa semula dengan ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan, serta keluar rumah tanpa memakai pelitup muka. Kemudian, baru melancong. 

Dengan usaha imunisasi negara yang memberansangkan dan tanda-tanda kelonggaran kawalan pergerakkan, Agoda menjalankan tinjauan Return to Travel yang mendedahkan aktiviti-aktiviti pasca-pandemik yang paling dinanti-nantikan rakyat Malaysia. 

Sudah tentu bercuti turut menjadi perancangan segelintir rakyat Malaysia yang lama 'terperuk', 34% daripada jumlah responden merancang untuk bercuti di mana 18% ingin bercuti ke luar negara, dan 16% hanya mahu bercuti secara domestik. 48% rakyat Malaysia pula merancang untuk bercuti tahun depan, 2022, dalam tempoh empat bulan selepas perintah kawalan pergerakan dimansuhkan sekiranya tiada lanjutan. 

Mereka di bawah lingkungan umur 18-24 dan 35-44 lebih cenderung untuk memilih destinasi domestik berbanding antarabangsa, sementara itu, kumpulan di bawah lingkungan umur 45 sehingga 54 serta 55 tahun ke atas mempunyai keinginan yang kuat untuk keluar dari negara dengan kedua-dua kumpulan menyatakan bahawa percutian antarabangsa adalah aktiviti kedua yang paling dinantikan apabila berakhirnya pandemik, selepas berjumpa dengan ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan. 

Ikatan kekeluargaan kekal menjadi keutamaan.

Selepas berbulan-bulan terpisah, lebih daripada dua per tiga rakyat Malaysia merancang untuk melakukan percutian pertama bersama ahli keluarga rapat dan rakan-rakan setelah perintah kawalan pergerakan dilonggarkan. Ini termasuk 41% daripadanya menyatakan mereka akan melakukan perjalanan bersama ahli keluarga rapat, iaitu suami atau isteri dan anak-anak dalam satu isi rumah yang sama. 23% yang lain pula menyatakan bahawa mereka akan melakukan perjalanan bersama ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan.

COVID mengubah cara percutian 

Untuk percutian pertama pasca-pandemik, destinasi pantai dan tepi laut merupakan pilihan utama yang ketara di kalangan rakyat Malaysia, diikuti dengan destinasi luar bandar serta alam semula jadi, percutian di bandar raya besar dan bandar kecil.  

Destinasi pantai dan tepi laut tetap menjadi pilihan utama bagi hampir semua kumpulan umur kecuali mereka yang berumur 55 tahun dan ke atas, yang paling tidak berkecendurungan untuk memilih destinasi tersebut sebagai destinasi percutian pertama pasca-pandemik. Sebaliknya, golongan ini lebih gemar akan percutian di luar bandar dan aktiviti alam semula jadi, mungkin untuk menjauhkan diri daripada bandar-bandar yang sibuk atau mercu-mercu tanda yang menjadi tumpuan ramai pelancong.