Berang Tidak Dimainkan, Peminat Hong Kong 'Boo' Inter Miami & Tendang Kadbod Lionel Messi

SUKAN
February 06, 2024 - 04:27 PM


Bagi peminat bola sepak antarabangsa, lagi-lagi yang berada di Asia, jelajah yang diadakan kelab-kelab luar negara adalah antara yang dinantikan kerana ia merupakan peluang untuk melihat bintang kesayangan bermain di hadapan mata.

Kelab Inter Miami yang dibarisi pemain-pemain hebat seperti Lionel Messi, Luis Suarez, Jordi Alba dan Sergio Busquets baru-baru ini telah melawat Hong Kong sebagai sebahagian daripada program jelajah Asia yang menyaksikan mereka bakal mengunjungi beberapa negara, termasuk Arab Saudi dan Jepun.

Untuk peminat bola sepak di Hong Kong, inilah satu-satu peluang untuk melihat 'the GOAT' bermain. Namun, harapan para peminat tidak kesampaian apabila penyerang legenda tersebut hanya berada di bangku simpanan sepanjang 90 minit permainan.

Perkara terbabit menyebabkan ribuan peminat berang dengan keputusan Inter Miami yang enggan memberikannya peluang berada di atas padang demi penyokong yang hadir.

Kecewa dengan hal tersebut, orang ramai yang membanjiri Stadium Nasional Hong Kong kemudiannya bertindak mencemuh, mengejek dan membuat bunyi 'boo' kepada kedua-dua pasukan selepas perlawanan berakhir.

Berdasarkan video yang tular di X, ramai daripada mereka mendesak agar pihak penganjur memulangkan semula wang tiket kepada penyokong yang hadir untuk menyaksikan aksi Messi.

Selain itu, ejekan turut dibuat terhadap pemilik Inter Miami, David Beckham atas keputusannya untuk tidak membenarkan pemain tersebut beraksi.

Salah satu video yang memaparkan kemarahan peminat tular apabila seorang penyokong menendang kadbod Lionel Messi sehingga rosak sebagai protes atas kekecewaan.

 

Sumber: X & Majoriti

Destination: