Isu Hukuman MFL: Hamidin Mohon Menghadap Sultan Selangor
SUKANPresiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan sudah menghantar surat rasmi memohon untuk menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah susulan isu hukuman yang dikenakan ke atas Selangor FC (SFC).
Hamidin juga menyatakan beliau menerima dengan hati terbuka berkenaan 'teguran' keras dari Sultan Selangor dan bagi menjernihkan keadaan, beliau mengambil pendekatan serta mengesahkan sudah menghubungi pihak Istana Selangor semalam.
"Saya maklum dengan dukacita Sultan Selangor. Saya sudah menghubungi pihak Istana Selangor semalam. Pagi ini saya turut menghantar surat rasmi bagi memohon menghadap DYMM Sultan Sharafudin Idris Shah Alhaj.
"Kemudian, saya susuli dengan menghantar warkah untuk mengadap Sultan Selangor hari ini bagi memberi penjelasan (mengenai kemelut dan isu terkini).
“Saya memahami dukacita DYMM Tuanku. Izinkan saya menghadap Tuanku terlebih dahulu,” katanya.
Sebelum ini, Sultan Selangor menzahirkan rasa kecewa dan amat dukacita dengan keputusan ahli-ahli Liga Bolasepak Malaysia (MFL) serta ahli-ahli Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berhubung kes ketidakhadiran Selangor FC ke perlawanan Piala Sumbangsih, 10 Mei lalu.
Baginda juga dalam satu kenyataan rasmi menyatakan terkejut dan kecewa dengan Datuk Hamidin yang disifatkan tidak serius bersuara, sedangkan beliau sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor.
Sultan Selangor turut menyifatkan hukuman yang diumumkan oleh MFL adalah tidak masuk akal dan sangat berlebihan.
Presiden Persatuan Bola Sepak FAM, Hamidin Mohd Amin sahkan memohon menghadap Sultan Selangor.
— Mohd Redzuan Abdul Manap (@redzuanNewsMPB) June 27, 2024
Semalam, Sultan Selangor zahir amat murka dan dukacita keputusan MFL, serta ahli FAM khususnya Hamidin berhubung hukuman dikenakan terhadap Selangor FC.
Sumber: Harian Metro & X