KDNFC Raih Keputusan Positif Benam NSFC Pada Aksi Ketiga Pra Musim 2024/25

SUKAN
April 27, 2024 - 10:21 AM


Kelantan Darul Naim FC mencatatkan keputusan positif pada aksi pra musim setelah menewaskan Negeri Sembilan FC 1-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Kemenangan yang diraih tersebut adalah kejayaan kedua skuad Sang Kijang Emas setelah tiga perlawanan dilalui skuad bimbingan Park Jaehong setakat ini.

Pada aksi malam tadi dihadapan lebih 3800 penyokong yang hadir, Kelantan Darul Naim FC mempamerkan persembahan menarik sepanjang 90 minit perlawanan walaupun menurunkan seorang import pada babak awal perlawanan.

Permulaan aksi tampak keazaman yang ditunjukkan pemain muda tuan rumah ketika pelawat yang hadir dengan skuad utama tertekan setelah diasak bertali arus oleh jentera serangan yang diketuai Wan Mohd Fazli.

Jaringan terhasil seawal minit ketujuh setelah sepakan sudut yang diambil Faizal Talib menemui Hafizal dan tandukan pemain pertahanan ini terus disambar Asraf Aliffuddin yang hanya berseorangan tidak dikawal didepan gawang Negeri Sembilan sekaligus menggamatkan suasana stadium.

Jaringan itu mengejutkan pihak lawan menyaksikan beberapa serangan balas pantas diatur untuk mencari jaringan penyamaan menerusi gandingan Miguel Angel, Takumi Sasaki serta penyerang kebangsaan Myammar, Hein Htet Aung.

Bagaimanapun, Kelantan Darul Naim FC yang hampir mengejutkan skuad bimbingan Azzmi Aziz setelah Wan Mohd Fazli hampir melakar jaringan kedua tidak lama selepas itu setelah menanduk cantik hantaran jauh Faizal Talib.

Dua percubaan menerusi sepakan lencong dari luar kotak penalti dari Wan Mohd Fazli serta Zuasyraf Zulkiefle sekadar menggegarkan palang gol manakala sentuhan Amirul Shafik turut sedikit tersasar ketika penjaga gol Negeri Sembilan, Syahmi Adib sudah jauh meninggalkan posisi.

Pelawat turut memiliki beberapa peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan namun kecemerlangan barisan pertahanan selain kemasukan beberapa pemain import iaitu ketua pasukan, Oday Kharoub serta duo bek, Michal Jerabek dan Kim Likwan menyaksikan keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Selepas ini, Park Jaehong dan anak buahnya akan melalui satu lagi aksi persahabatan menentang Terengganu FC pada 3 Mei seterusnya turun perlawanan pertama Liga Super menentang Sri Pahang FC pada 11 Mei di Stadium Temerloh.