Kim Pan Gon Sah Tinggalkan Harimau Malaya

SUKAN
July 16, 2024 - 04:03 PM


Khabar angin tentang status Kim Pan Gon akhirnya terjawab apabila jurulatih dari Korea Selatan itu mengumumkan perletakan jawatannya selaku pengendali Harimau Malaya hari ini. 

Dalam sidang media khas di Wisma FAM pada Selasa, Kim berkata, beliau telah mengadakan pertemuan beberapa kali dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, sebelum kedua-dua mereka mencapai persetujuan berhubung keputusannya itu. 

Menurutnya dalam satu kenyataan, beliau sangat sedih untuk meletakkan jawatan sebagai jurulatih Harimau Malaya. 

“Kepada penyokong bola sepak Malaysia, hari ini saya ada mesej yang sedih kepada semua. Saya telah memilih untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Jurulatih Malaysia atas sebab peribadi.

“Saya minta maaf atas kedukaan ini dan memberi kesan kepada semua. Sejak saya hadir pada tahun 2022, rakyat Malaysia memberikan saya pengalaman yang indah kepada saya,” katanya. 

Katanya lagi, sepanjang dua tahun setengah tempoh beliau menerajui pasukan bola sepak negara, Malaysia telah berjaya memperbaiki kedudukan dalam FIFA, selain layak ke Piala Asia selepas kemarau 23 tahun. 

Malah, skuad Harimau Malaya juga telah mencipta sejarah tersendiri dan mewujudkan memori manis buat peminat bola sepak tanah air apabila berjaya meraih keputusan seri 3-3 ke atas Korea Selatan pada aksi terakhir kumpulan E pada saingan Piala Asia 2023, awal tahun ini.  

“Kami telah berjaya membina asas yang kukuh untuk skuad tanah air, dan berjaya menanam bibit-bibit harapan bahawa bola sepak tanah air mempunyai masa depan yang cukup cerah.

“Sokongan padu Ultras Malaya juga merupakan antara motivasi terbesar untuk saya, sokongan Datuk Hamidin juga antara kekuatan saya.

"Selain itu, saya juga bersyukur kepada kerajaan dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, serta kelab-kelab bola sepak yang terus membenarkan saya mencuba untuk memperbaiki kekuatan kami,” katanya lagi. 

Sebelum ini, Kim Pan Gon menyatakan hasratnya untuk terus membimbing skuad negara dalam misi layak ke Piala Asia 2027 selepas gagal meraih slot ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 bulan lalu. 

Sementara itu, Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihak pengurusan telah bersetuju agar tempat Kim dipangku sementara oleh Penolong Ketua Jurulatih, Pau Marti Vicente, dan tiada perubahan kepada barisan jurulatih lain.

Untuk makluman, Kim Pan Gon dilantik sebagai ketua jurulatih pada tahun 2022 dan telah menandatangani kontrak lanjutan sehingga 2025. 

 

Sumber: x, FAM & Astro Awani

Destination: