Piala Asia B-23: Malaysia Bermula Dengan Langkah Sumbang, Tewas 0-2 Kepada Uzbekistan

SUKAN
April 18, 2024 - 10:59 AM


Pasukan bola sepak negara bawah 23 tahun bermula dengan langkah sumbang apabila tewas 0-2 kepada Uzbekistan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D, Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) 2024 yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Khalifa, Qatar malam tadi. 

Harimau Muda sebenarnya bermula dengan baik apabila sepakan bebas penyerang negara Luqman Hakim Shamsudin pada minit ke-2 hampir menerjah jaring namun ia melewati palang gol.

Bagaimanapun semuanya berubah apabila pemain pertahanan negara telah  melakukan kesilapan dengan menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-11 selepas mengasari pemain lawan dalam kotak penalti. 

Jasurbek Jaloliddinov tidak mensia-siakan peluang dengan membuka tirai gol perlawanan apabila mudah menewaskan penjaga gol Azim Al Amin sekaligus meletakkan Uzbekistan satu gol di hadapan.

Gol tersebut nyata mengubah corak perlawanan dengan menyaksikan skuad kendalian Timur Kapadze, semakin bernafsu untuk mencari gol sementara anak-anak buah Juan Torres Garrido terpaksa menyerap segala serangan daripada pihak lawan. 

Memasuki babak kedua, Malaysia cuba mencari gol penyamaan pada minit-minit awal namun buntu dengan pertahanan lawan berjaya menyerap serangan. 

Bagaimanapun, kesilapan pemain negara sekali lagi memakan diri apabila hantaran ke belakang yang kurang kemas dirampas pemain lawan sebelum ia dihukum dengan gol kedua perlawanan menerusi Ulugbek Khoshimov pada minit ke-83.

Gol itu sekaligus meranapkan impian Malaysia untuk sekurang-kurangnya mencari gol penyamaan dengan perlawanan berkesudahan dua gol tanpa balas. Kekalahan ini menyaksikan Malaysia berada di tangga ke-4 Kumpulan D dengan tiada mata manakala Uzbekistan di tangga teratas dengan 3 mata. 

 

Sumber: Siakap Keli

Destination: