Wang Tunai & Rumah Bernilai 1 Juta Menanti Pemenang Pingat Emas Olimpik Paris 2024

SUKAN
July 16, 2024 - 10:02 PM


Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan dua penaja yang akan memberikan tajaan kepada atlet yang berjaya membawa pulang pingat emas pertama Malaysia dalam Sukan Olimpik Paris 2024 bermula hujung bulan ini.

Tajaan itu adalah sebagai suntikan semangat buat atlet agar dapat memberikan aksi terbaik di bumi Paris nanti.

Dua penaja berkenaan ialah Tan Sri Dr Lim Wee Chai dan En Lim Kim Heng, yang akan memberikan sumbangan seperti berikut:

Dr. Lim Wee Chai, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Top Glove dan Pemilik Top Residency -- sebuah pembangunan mewah di Setia Alam -- menawarkan pangsapuri servis bernilai RM1 juta sebagai insentif istimewa.

Terletak di kawasan strategik yang pesat membangun, Top Residency adalah sebahagian daripada sebuah hotel bertaraf 4 bintang menjanjikan gaya hidup eksklusif dan kemudahan bertaraf dunia.

Pengerusi Eksekutif Sengheng, Kim Heng, pula menaja wang tunai berjumlah RM1 juta kepada atlet yang berjaya memenangi pingat emas di bawah Program Bakat Badminton SS (2012–2016) yang telah layak ke Sukan Olimpik Paris 2024, iaitu Aaron Chia, Soh Wooi Yik & Chen Tang Jie.

Sekiranya ada lebih dari satu pemenang, wang tunai itu akan dikongsikan sama rata.

Ini adalah sumbangan peribadi daripada Pengasas & Pengerusi Eksekutif Senheng New Retail Berhad itu.

Senheng telah menyokong tiga pemain berkenaan di bawah Program Bakat Badminton SS sejak penubuhannya, termasuk menampung perbelanjaan latihan, penginapan dan makan minum mereka.