Susah Nak Komunikasi Masa Melancong Ke Korea? Aplikasi ‘Sidekick’ Boleh Bantu Anda!
Siapa di sini yang pernah mengalami masalah komunikasi ketika melancong ke negara yang kurang mengamalkan penggunaan Bahasa Inggeris dan hanya bergantung kepada bahasa ibunda mereka sahaja seperti Korea dan Jepun?
Selain melambatkan aktiviti jalan-jalan anda, masa bercuti juga akan lebih banyak dihabiskan dengan mencari bantuan daripada penduduk tempatan yang boleh memahami bahasa anda.
Tetapi sekarang anda dah tak perlu bimbang jika mengalami masalah ketika melancong ke Korea!
Ini kerana terdapat sebuah perkhidmatan aplikasi baharu dipanggil ‘Sidekick’ yang akan membantu anda berhubung dengan penduduk tempatan yang mahir berbahasa Inggeris sepanjang tempoh percutian ke negara tersebut.
Aplikasi ini berfungsi dalam bentuk perbualan secara langsung atau ‘live-chat’ seperti Facebook, WhatsApp, WeChat dan LINE.
Dengan Sidekick anda boleh bersembang dengan penduduk tempatan untuk mendapatkan segala info serta maklumat berhubung apa sahaja, bermula dari menterjemah bahasa, cadangan restoran, idea tempat pelancongan, tempahan membeli-belah dan segala persoalan berkaitan budaya dan etika masyarakat Korea.
Sidekick dicipta oleh bekas pekerja Samsung iaitu Scott Barrow dan Jungwon Yan yang mendapat idea tersebut hasil pengalaman peribadi mereka ketika melancong.
Menurut Lonely Planet, Barrow dan Yan melihat kebanyakan pelancong lebih banyak menghabiskan masa mencari sesuatu maklumat daripada telefon mereka, berbanding menikmati keindahan dan keseronokan pengembaraan ke negara yang dikunjungi.
Bagi pengguna yang ingin memuatnaik aplikasi tersebut, mereka ditawarkan dengan 3 pilihan sama ada ingin menggunakannya untuk tempoh sehari, 3 hari ataupun 5 hari.
Bayaran untuk Pas Sehari adalah 20 USD, 3 Hari (54 USD) dan 5 Hari (80 USD).
Aplikasi ini boleh digunakan bermula 7 pagi hingga 5 petang mengikut waktu Korea.
Buat masa sekarang, Sidekick hanya terdapat di Korea namun ia dijangka bakal diperluaskan ke Jepun dan beberapa negara lain tidak lama lagi.
Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web rasmi Sidekick.