Putrajaya Bakal Jadi Bandar Yang Lebih Mampan, Tarik Lebih Ramai Pelancong Dan Penduduk

September 13, 2021 - 10:48 PM


Kalau Putrajaya dibangunkan dengan lebih pesat, orang Putrajaya marah tak nanti kalau jalan sesak macam KL? Hehe. 

Putrajaya yang menjadi pusat pentadbiran Malaysia sedang menuju ke arah bandar mampan seterusnya menonjol sebagai destinasi pelancongan.

Pandemik Covid-19 mungkin telah menjejaskan banyak acara yang dirancang untuk memperingati sambutan kemuncak jubli peraknya, yang dijadualkan berlangsung pada 29 Ogos tahun lalu, tetapi apa yang dapat dilihat di bandar ini sendiri sudah dapat mencerminkan pencapaiannya.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain berkata, Putrajaya terkenal dengan imej elegan serta bangunan-bangunan kerajaan yang tersusun rapi, boulevard yang luas, jambatan menakjubkan tanpa meninggalkan elemen kehijauan alam sekitar.

“Semua kementerian dan jabatan kerajaan yang sebelum ini terletak di Kuala Lumpur telah berpindah ke Putrajaya, kecuali Kementerian Pertahanan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Jabatan Kerja Raya.

“Terdapat banyak kawasan hijau yang mana 40 peratus dari 4.931 hektar bandar ini adalah untuk aktiviti outdoor dan Tasik Putrajaya menjadi lokasi untuk aktiviti berasaskan air.

“Putrajaya juga menjadi tempat tumpuan acara nasional dan antarabangsa dengan merekodkan antara 120 hingga 250 acara setiap tahun," kata Datuk Muhammad Azmi.

UBAH FOKUS PEMBANGUNAN PUTRAJAYA

Muhammad Azmi berkata, fasa berikutnya akan memberi fokus kepada peningkatan kecekapan pentadbiran dalam PPj, selain persekitaran, pelancongan, gaya hidup penduduk bandar ini serta kelestarian dan penyampaian perkhidmatan, seperti yang dinyatakan dalam Pelan Strategik Putrajaya 2021-2025.

Katanya, bandar ini, dengan populasi 120,000 orang yang kebanyakannya terdiri daripada penjawat awam dan keluarga mereka, telah menyasarkan peningkatan sehingga 350,000 orang dalam tempoh 25 tahun akan datang dan dalam masa sama menyuntik lebih banyak kepelbagaian.

“Satu populasi dinamik yang diterjemahkan kepada kuasa membeli yang lebih baik seterusnya akan menyumbang kepada pertumbuhan Bandar.

“Oleh itu, kami perlu menonjolkan kehebatan dan apa yang ditawarkan Putrajaya dalam usaha menarik lebih ramai orang menjadikan bandar ini sebagai kediaman mereka.

"Kami juga berusaha untuk mengukir nama Putrajaya sebagai bandar pentadbiran kelas dunia dan lestari, dan kami telah melancarkan banyak inisiatif pintar dan hijau sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

BANDAR HIJAU


PPj telah memulakan pelbagai inisiatif hijau dalam penurunan pelepasan karbon, yang disasarkan akan berjaya dicapai pada tahun 2025.

Muhammad Azmi berkata, organisasi itu melaksanakan inisiatif rendah karbon, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari yang dipromosikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sebagai persiapan untuk Putrajaya Bandar Hijau 2025.

Beliau mendedahkan tujuh bidang tumpuan - perancangan dan pembinaan bandar; mengintegrasikan alam semula jadi ke dalam struktur bandar urban; pengangkutan dan mobiliti; penggunaan tenaga; penggunaan air; pengurusan sisa pepejal; serta pentadbiran dan pengurusan Bandar.

"Situasi pandemik ini tidak membantutkan usaha penghijauan kita, termasuk yang melibatkan masyarakat.

"Sebagai contoh, kami telah menjalankan latihan pengurusan tenaga secara dalam talian.

"Anugerah Inisiatif Hijau Putrajaya (AIH Putrajaya), yang bermula tahun lalu untuk mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada inisiatif hijau penduduk bandar akan diteruskan juga pada tahun ini.

"Kami mahu orang ramai menghayati gaya hidup hijau," katanya.

Destination: