10 Rekod Menarik Korang Berjaya Catat Jika Bercuti Ke Sabah!

June 07, 2022 - 01:18 PM


Jika ditanya kepada kebanyakan rakyat Malaysia, negeri mana yang paling cantik dan paling menarik untuk dikunjungi -- Sabah antara yang berada pada senarai teratas.

Apa tidaknya negeri ini mempunyai keunikan dan tarikan yang tersendiri sehingga menjadi tumpuan pelancong di dalam serta luar negara.

Bertitik tolak daripada persepsi itu juga penulis menyimpan hasrat untuk melawat segenap Sabah.

Penulis mengambil kesempatan untuk berkunjung ke semua 27 daerah di Sabah termasuk Kota Marudu, Kota Belud, Beaufort, Beluran dan Kalabakan sejak 2020.

Pada ketika negara dilanda pandemik Covid-19, penulis yang aktif melancong ke luar negara, mengambil peluang untuk melancong dalam negara yang sebenarnya memiliki keindahan dan tarikan sendiri.

Lebih manis, misi untuk ke setiap pelosok negeri yang mendapat jolokan Negeri Di Bawah Bayu ini berjaya direalisasikan beberapa hari sebelum sambutan Pesta Kaamatan diraikan di Sabah pada 30 dan 31 Mei lalu.

Seandainya disusun keunikan di Sabah, ia terlalu banyak dan buat kali ini penulis berkongsi 10 lokasi menarik yang dikunjungi sejak dua tahun lalu.

TEMPURONG Seaside Lodge yang menenangkan.

1. BUMBUNG PUNCAK MALAYSIA 

Kewujudan Banjaran Crocker yang megah berdiri dengan struktur semula jadi paling tinggi di Malaysia berketinggian 4,095 meter. Sehingga kini penulis hanya sempat untuk menerokai kawasan menarik di sekitar kaki Gunung Kinabalu. Bagaimanapun, penulis sudah membuat tempahan untuk mendaki Gunung Kinabalu pada akhir tahun ini sebagai klimaks lawatan ke Kinabalu.

2. AMAZON MALAYSIA 

Sungai Kinabatangan yang menyusuri megah dan menduduki kedudukan sungai kedua terpanjang di Malaysia ini menyimpan khazanah tidak ternilai terdiri daripada flora, fauna dan khazanah sumber alam lain menjadikannya antara penumpang biodiversiti terbesar di Malaysia. Pengalaman menyusuri Sungai Kinabatangan membawa penulis ke dunia alam semula jadi dengan lebih dekat di kawasan liarnya.

3. GUNUNG BERAPI TUNGGAL DI MALAYSIA 

Di Tawau terdapat beberapa gunung berapi kuno dan penulis hanya sempat ke Gunung Bombalai, Tawau serta ke Sungai Balung, Tawau melihat bagaimana proses bentuk muka bumi yang membentuk formasi batu bersusun.

4. PULAU TERCANTIK DAN TERBANYAK DI MALAYSIA 

Dikatakan mempunyai hampir 400 pulau, secara peribadi penulis memilih Pulau Bohey Dulang di Semporna sebagai tercantik terutama apabila air surut sehingga membentuk formasi seolah-olah dulang air berwarna biru. Selain itu, Pulau Banggi di Kudat adalah pulau terbesar di Malaysia, pengalaman ke sini juga melengkapkan eksplorasi penulis ke semua 10 pulau di Malaysia.

5. RUMAH DUA TUAN 

Dengan kedudukan dapur di Malaysia, manakala ruang tamu di Indonesia menjadikan rumah ini sangat unik. Lawatan singkat penulis ke sini agak rumit kerana perlu menggunakan beberapa pengangkutan dari Jeti Feri Tawau sebelum meneruskan perjalanan menaiki motor untuk ke rumah ini melalui kawasan ladang sawit dan perkampungan di Indonesia.

6. AIR TERJUN TERTINGGI DI MALAYSIA 

AIR Terjun Tawai memiliki keunikan tersendiri.

Air Terjun Kadamaian di Gunung Kinabalu memiliki predikat sebagai yang tertinggi di Malaysia. Namun disebabkan tiada akses untuk ke sini, penulis memilih untuk ke Air Terjun Tawai di Telupid yang menjadi air terjun kedua tertinggi di Sabah. Keindahannya nyata mencuri perhatian penulis secara peribadi. Bagaimanapun, untuk ke sini bukan perkara yang mudah kerana perlu mendaki sejauh hampir 13 kilometer pergi dan balik.

7. SYURGA BUNGA TERBESAR, RAFFLESIA 

Hasil lawatan penulis di Pusat Informasi Rafflesia Tambunan menemukan fakta bahawa Sabah adalah negeri yang paling banyak memiliki taburan bunga gergasi ini. Setakat ini penulis hanya berpeluang untuk menjejaki bunga ini di Poring, Ranau dan saiz bunga ini lebih kecil berbanding yang ditemui di Lojing, Kelantan.

8. JALAN RAYA TERTINGGI DAN TERLURUS DI MALAYSIA 

Benarlah bagai dikata negeri ini berkedudukan di atas awan kerana mempunyai Lebuhraya Kimanis-Keningau yang begitu curam sehingga terdapat Bukit Graviti dengan fenomena melawan daya graviti bumi. Selain itu juga, jalan raya lurus terpanjang di Malaysia di Jalan Raya Apin-Apin-Tambunan tanpa keluk sejauh 19 kilometer menjadikan pengalaman pemanduan saya lebih lancar namun terasa sedikit kebosanan kerana kurang mencabar.

9. POPULASI LIPAS TERBANYAK DI DUNIA 

Gua Gomantong, Kinabatangan adalah syurga bagi pencari sarang burung liar. Namun penulis sebenarnya ingin melihat dengan lebih dekat koloni lipas yang paling banyak di dunia di sini. Paling penting adalah keindahan guanya yang sangat memukau pandangan mata.

10. HAGIA SOPHIA NUSANTARA 

Mempunyai sejarah yang sama dengan Masjid Hagia Sofia di Turki, menjadikan jalan cerita Masjid Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia), Kota Kinabalu saling tak tumpah kerana kedua-duanya dahulunya adalah gereja. Ini menunjukkan bagaimana kompromi masyarakat berbeza agama di Sabah terhadap satu sama lain. Penulis berpeluang untuk singgah solat berjemaah di sini.

Bukan hanya berkisar mengenai tempat menarik, makanan juga adalah tarikan utama untuk penulis berkunjung ke Sabah ini dan antara 10 juadah kegemaran penulis yang agak sukar dijumpai di negeri lain adalah ikan boulu, amplang, buah tarap, kuih cincin dan air kitchai ping (gabungan limau dan asam boi).

BERPELUANG menjejakkan kaki di Tip of Borneo.

Kesimpulannya, hikmah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 2020 dan baru berakhir baru-baru ini memberi hikmah dan memberi ruang untuk penulis menerokai tanah air sendiri yang terletak di seberang laut sana kerana kedudukan penulis yang tinggal di Semenanjung Malaysia.

Kesempatan hanya melancong di dalam negara sebelum ia diperluaskan lagi penulis ambil sebaik mungkin untuk melengkapkan siri kunjungan saya ke setiap daerah di Sabah dan penulis membuktikan bahawa Sabah itu sangat cantik dan mempunyai keunikan tersendiri.

Selepas ini, penulis merancang untuk ke semua daerah di Sarawak pula, semoga ia menjadi kenyataan suatu hari nanti.

Sumber & Kredit Gambar: Harian Metro

Destination: