12 Perkara Menarik Tentang "Tangga" Ikonik Terbaharu Putrajaya!

January 24, 2022 - 06:26 PM


Setiap kali tiba cuti hujung minggu atau cuti umum -- ramai warga kota yang mengambil kesempatan membawa keluarga beriadah ke Putrajaya disebabkan lokasinya yang lebih dekat dan banyak tarikan untuk dikunjungi.

Terbaharu pusat pentadbiran negara itu sudah membuka "Tangga Putrajaya" sejak Oktober lalu untuk orang ramai beriadah sambil menjalani gaya hidup sihat.

Ini 12 perkara menarik tentang port terbaharu itu yang juga dikenali sebagai "Putrajaya Steps" di mana lokasinya terletak berhampiran Dataran Putra menjadikan ianya ideal untuk dikunjungi terutama kaki fotografi bagi merakam panorama indah Putrajaya :-

1) Diilhamkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang ketika itu dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan -- pembinaan Tangga Putrajaya adalah bersempena dengan 25 tahun Sambutan Jubli Perak Putrajaya.

2) Ia dibina di atas cerun menuju Mercu Tanda di Taman Putra Perdana.

3) Pembinaan Tangga Putrajaya mewujudkan kesinambungan laluan pejalan kaki dari Dataran Putra melalui Laman Perdana naik ke Mercu Tanda di Taman Putra Perdana.

4) Ia dapat dilihat sebagai satu paksi lurus (axis) yang menghubungkan kawasan tumpuan pelawat iaitu di Dataran Putra.

5) Ketinggian Tangga Putrajaya dianggarkan 30 meter (m) dan jarak pendakian dari bawah ke mercu tanda adalah sejauh 200m.

6) Bagi tujuan keselamatan, laluan seumpama paksi lurus itu dibina tidak curam dengan mempunyai 248 anak tangga selebar tiga meter.

7) Menariknya ia turut dilengkapi empat plaza dan 14 tapak hentian rehat selain 46 tiang lampu taman.

8) Sebanyak 8 jenis pokok renek berwarna-warni turut dijadikan hiasan di kawasan tengah tangga itu selaras dengan konsep taman untuk memberi panorama hijau yang hidup segar.

9) Selain direka khusus untuk pendakian dan penurunan -- ia juga dibina dengan struktur, fasiliti serta peralatan yang membolehkan pengunjung melakukan aktiviti bersukan, beriadah mahupun rekreasi secara santai di sepanjang binaan tangga sambil menikmati panorama indah Putrajaya.

10) Lebih menarik, binaan tangga itu dikatakan diinspirasikan dari beberapa tangga ikonik dunia seperti Spanish Steps di Itali, Potemkins Stairs di Ukraine dan Batu Caves, Selangor.

11) Bagi mengindahkan lagi kawasan sekitar Tangga Putrajaya, Perbadanan Putrajaya (PPj) turut menanam pelbagai pokok termasuk tekoma atau Sakura Malaysia.

Tekoma atau nama saintifiknya Tabebuia rosea bakal menjadi landskap utama kawasan tangga berkeluasan 4, 995 meter persegi itu.

Ia ditanam di kiri dan kanan tangga, sekali gus menyerikan lagi kawasan itu apabila sudah berbunga kelak.

Lazimnya, ia berbunga merah jambu ketika cuaca panas terik sekitar Mac hingga April setiap tahun.

12) Untuk makluman, Tangga Putrajaya itu adalah tangga ikonik kedua dibina di Putrajaya selepas Tangga Alamanda.

Sumber: Harian Metro

 

Destination: