Dr MAZA Cadangkan 2 Perkara Tentang Bon Odori Untuk Pengunjung Islam
Mufti Perlis mencadangkan dua perkara kepada penganjur Festival Bon Odori susulan isu pertembungan agama dan budaya yang menjadi pertikaian beberapa pihak.
Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pertamanya, isi sambutan festival itu tidak bersifat keagamaan dengan tidak memasukkan unsur khurafat atau syirik dan tiada ritual yang mewakili kepercayaan tertentu.
Saya ingin mencadangkan dua perkara kepada penganjur Bon Odori;
1. Memastikan isi sambutan festival itu tidak bersifat agama, tidak dimasukkan unsur khurafat atau syirik tertentu dan tiada ritual yang mewakili kepercayaan tertentu.
2. Jika boleh, diberikan nama baru atau nama tambahan di samping nama Bon Odori bagi mengelakkan kekeliruan dengan perayaan asal yang mempunyai unsur syirik dan khurafat. Ini seperti menamakan festival kebudayaan Jepun, atau masyarakat Jepun. Dengan itu, festival dapat diteruskan, dan polemik dapat dikurangkan.
Terdahulu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyatakan, pihaknya tidak akan menghalang mana-mana individu untuk menghadiri Festival Bon Odori yang dijadual pada 16 Julai depan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic).
Pengarahnya Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penetapan itu dibuat susulan titah Sultan Selangor yang tidak berkenan apa-apa keputusan mengenai perkara itu disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian mendalam.
Media sebelum ini melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak menyertai program tersebut kerana ia mengandungi unsur agama lain.
Sumber: Awani